KUALA LUMPUR: Menjadi antara 3,000 penonton menyaksikan Konsert Afgan Live In Concert With Orcestra bagaikan membaca novel sarat yang pelbagai rasa, baru-baru ini.

Menerusi himpunan untaian indah didendangkan, Afgan membuai emosi penonton dengan menyuntik rasa cinta, rindu, bahagia dan disulami perasaan ‘galau’ dalam jiwa.

Sejak dikenali di Malaysia lebih sedekad lalu, peminat sudah terbiasa dengan seleksi lagu yang kebanyakannya bernada melankolik dan mampu mengundang air mata tatkala mendengarnya.

Pemilik nama lengkap Afgan Syahreza ini mengakui keliru apabila ramai peminat menjadikan lagunya sebagai pengubat jiwa ketika bersedih.

“Apa benar semakin ‘galau’ sesebuah lagu boleh buat kamu semakin ‘healing’,” persoal Afgan sambil disambut dengan perkataan ‘ya’ oleh penonton yang membanjiri Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada malam berkenaan.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Jalan Terus, Mengertilah dan Ada, Afgan menyapa peminat sambil meluahkan rasa teruja kerana tidak menyangka sambutan cukup menggalakkan, meskipun pernah tampil di lokasi sama, tahun lalu.

Keterujaan itu berganda apabila buat julung kali menyanyi sambil diiringi pemuzik orkestra.

“Hello semua, rasa seronok dapat kembali ke sini. Apa khabar, ramai juga ya.

“Tahun lalu saya pernah bikin konsert di sini (KLCC). Masih tak bosan juga ya (ketawa).

“Malam ini sangat istimewa kerana saya bukan sahaja menyanyi bersama band, tetapi diiring pemuzik orkestra dari Malaysia.

“Menyanyi bersama orkestra ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Kuala Lumpur ibarat rumah kedua. Siapa tahu mungkin jodoh saya ada di sini,” katanya sambil disambut sorakan hadirin.

Afgan berpadu suara dengan Raisa menyampaikan lagu Percayalah.
Afgan berpadu suara dengan Raisa menyampaikan lagu Percayalah.

Meskipun baru setahun berpisah, konsert yang dibawakan khas oleh Renjana Idea Sdn Bhd itu mampu melerai rindu peminat setia yang tidak kisah mengeluarkan wang semata-mata menyaksikan persembahannya.

Mempertaruhkan wajah kacak dan vokal padu, ia adalah senjata yang menjadi umpan untuk membuat penonton terpukau dengan nyanyiannya.

Terserlah kejujuran dalam nyanyiannya ketika menyampaikan lagu Setia Menunggu, Untukmu Aku Bertahan, Pendam, Kunci Hati, Kumohon, Kali Kedua termasuk lagu hit iaitu Jodoh Pasti Bertemu dan Bukan Cinta Biasa sebelum menutup tirai konsert dengan lagu Kau Dengannya Ku dengan Dia dan Bawalah Pergi Cintaku.

Tidak hanya menyampaikan lagu balada, Afgan turut memanaskan pentas dengan irama rancak seperti Dia Dia Dia, Brand New Day, Knock Me Out dan Panah Asmara yang turut merasuk peminat untuk bangun dari kerusi dan berdansa dengannya.

Menerusi konsert berdurasi lebih dua jam itu, penyanyi berusia 34 tahun ini menyampaikan 25 lagu diiringi 25 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.

Tampil segak mengenakan sut, konsert itu turut menyerlah dari segi penataan cahaya dengan limpahan lampu neon dan hiasan pentas memukau.

Binaan tangga besar dan dilatari jam dinding menepati cita rasa Afgan yang mahukan keunikan dalam konsert itu.

Cuma dari segi sistem bunyi penganjur perlu ambil perhatian kerana terdapat masalah teknikal yang mengganggu kelancaran konsert.

Afgan turut berpadu suara dengan Raisa menyampaikan lagu Percayalah.

Ini adalah kali kedua Afgan menjayakan konsert di KLCC selepas kejayaan Konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur, tahun lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *