SHAH ALAM: Mila Jirin, 36, berusaha memujuk suami, Isz Mustapha, 44, untuk membenarkan dirinya menyanyi semula selepas beberapa tahun berehat demi memberi fokus terhadap perniagaan.
Mila atau nama sebenar, Noorsyarmilla Jirin mengaku rindu untuk kembali aktif menyanyi seperti zaman kegemilangan sebaik menjuarai musim kelima program realiti, Akademi Fantasia (AF5) pada 2007.
Mila berkata, sejak kebelakangan ini, suaminya sudah mula menyokong untuk dirinya aktif semula dan tidak menolak kemungkinan bakal muncul dengan single baharu.
“Sebagai seorang yang berdarah seni, saya mesti hendak menyanyi. Dodoi anak menyanyi, kalau dalam tandas pun menyanyi. Memang berkobar-kobar hendak menyanyi. Sekarang, nampak gaya, dia (suami) sudah mula memberi (keizinan).
“Suami kata kalau saya boleh imbangkan kerja sebagai majikan dan ibu… Anak juga sudah besar. Doakan saya sebab rindu sangat hendak menyanyi.

“Saya ada hubungi beberapa komposer untuk bertanya mengenai lagu baharu. Baru-baru ini, saya ada hantar mesej kepada Stacy dan bertanya sama ada dia mahu ciptakan lagu untuk saya… Semoga ada rezeki,” katanya ditemui pada majlis Santai Selebriti Bersama Mufti Selangor di kediaman pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham di sini, Khamis lalu.
Mila berharap orang ramai dapat mendoakan agar hasratnya untuk kembali ke bidang nyanyian, tercapai.
“Kalau kembali pun bukanlah mahu bersaing dengan sesiapa. Saya buat sebab suka dan darah seni masih mengalir dalam diri. Sebagai anak seni, bila dapat menyanyi lagu di atas pentas, ia ibarat terapi untuk diri saya,” katanya.
Pada majlis itu, Mila turut membayar zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM365,268.73 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Inisiatif itu bertujuan mendekati dan menyalurkan zakat kepada selebriti tanah air yang kehilangan punca pendapatan kerana tiada tawaran lakonan atau nyanyian.
Kredit: Berita Harian