KUALA LUMPUR: Pernah suatu ketika, jejaka ini melalui fasa gelap dalam kehidupan dan sering berperang dengan perasaan sendiri. Keadaan itu bukan sahaja membuatkan jiwa penyanyi Hafiz Suip berkecamuk, malah, kilauan bintang dalam genggamannya beransur pudar.

Malah, akui Hafiz atau nama penuh, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, gara-gara kekecewaan yang dihadapinya, pada suatu tahap, hampir sahaja dia mengucapkan selamat tinggal pada dunia nyanyian yang diceburi sejak 15 tahun lalu.

“Saya pernah melalui keadaan yang membuatkan saya hilang minat untuk meneruskan kerjaya seni dan terfikir untuk bersara. Perasaan itu timbul selepas melihat ramai artis baharu muncul bersilih ganti dalam industri.

“Bukannya saya berkecil hati atau rasa diri dilupakan, sebaliknya, lebih kepada faktor usia. Rambut pun semakin botak dan stamina pun tidak lagi sekuat zaman saya remaja dahulu.

“Itulah yang dikatakan hidup ini umpama roda. Bagaimanapun, saya percaya perasaan ini bukan saya seorang sahaja yang hadapi, tetapi dilalui artis lain juga,” katanya kepada BH Online.

Enggan terus membeban diri dengan tekanan yang tidak perlu, penyanyi Awan Nano itu kemudian bangkit meneruskan kerjaya seninya yang sebelum ini suram dek perasaan kecewanya itu.

“Ketika sedang bergelut dengan perasaan sendiri, tiba-tiba, terdetik dalam hati kenapa saya hendak sia-siakan anugerah yang Allah beri kepada saya.

“Saya tak mahu menjadi seorang yang kufur nikmat. Disebabkan itu, saya pujuk diri untuk kembali berjuang dalam industri seni dan mohon kepada Tuhan semoga diberi kekuatan untuk bangkit daripada kekecewaan lalu.

“Insya-Allah, selepas ini, saya takkan hilang lagi. Sepanjang tempoh muhasabah diri itu, saya banyak belajar dan sudah mula faham.

“Allah beri saya rezeki melalui cara ini (menyanyi) dan inilah sahaja yang saya ada,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single Terus Bersinar di Pusat Bandar Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Gara-gara kekecewaan dihadapi, Hafiz hampir sahaja mengucapkan selamat tinggal pada dunia nyanyian yang diceburi sejak 15 tahun lalu. - NSTP/Rohanis Shukri
Gara-gara kekecewaan dihadapi, Hafiz hampir sahaja mengucapkan selamat tinggal pada dunia nyanyian yang diceburi sejak 15 tahun lalu. – NSTP/Rohanis Shukri

Lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik dihasilkan Datuk Aris Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.

Meskipun media sosial bukanlah sesuatu asing buatnya kerana Hafiz memiliki akaun Instagram (IG) dan Facebook (FB), namun, pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) tiga kali berturut-turut ini mengaku agak skeptikal dengan aplikasi TikTok.

Jelas penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu, perasaan itu timbul selepas ada kakitangannya mencadangkan supaya dia menggunakan platform berkenaan untuk mempromosikan kerjaya seninya.

“Apabila ada kakitangan cadangkan saya guna TikTok untuk tujuan publisiti, saya agak keberatan selepas mendapati kandungan diketengahkan tidak sesuai dengan diri saya.

“Takkan saya kena menari depan kamera seperti yang sering dilihat di platform terbabit.

Bagaimanapun, perasaan skeptikal itu lenyap selepas mendapat tahu keberkesanan platform itu. Dari situ, timbul idea untuk saya warnakan rambut hijau sebagai ‘gimik’ bagi pelancaran single Terus Bersinar.

“Saya akui gimik itu menjadi apabila diperkatakan dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen,” katanya yang mula dikenali dengan imej rambut kerinting.

Dalam perkembangan lain, selepas 15 tahun berada dalam belantara seni, pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) sebanyak tiga kali ini mengaku bersedia mementaskan konsert.

“Jujurnya, saya sangat cemburu melihat ramai penyanyi, termasuk rakan seangkatan dan artis senior menganjurkan konsert solo. Keinginan mementaskan konsert itu ada, tetapi tidaklah semudah disangka.

“Selain memerlukan ramai tenaga kerja, faktor kewangan juga memainkan peranan penting. Jika dari segi katalog, saya ada banyak lagu dan kebanyakan lagu saya masih didengar hingga hari ini.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki tahun depan saya buat konsert,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *