Kuala Lumpur: Penyanyi Ruhil Amani, 48, berdepan detik mencemaskan apabila terlepas panggilan daripada guru anaknya, Raayan berhubung satu kejadian menggemparkan hari ini.
Menurutnya, guru terbabit menghubunginya kerana mahu dia segera mengambil Raayan di sekolah.
“Saya ada urusan tadi dan harus senyapkan telefon saya. Setelah selesai, saya nampak ada ‘missed call’ dari cikgu Raayan.
“Bila saya telefon balik, rupanya pihak sekolah mahu saya datang jemput Raayan secepat yang boleh kerana ada ugutan bom di sekolah. Tak terkata saya dibuatnya.
“Macam-macam yang saya rasa dan ada di fikiran saya sepanjang dalam perjalanan ke sekolah tadi,” katanya menerusi Facebook peribadinya.
Penyanyi lagu Kawan ini bagaimanapun bersyukur apabila keadaan terkawal di mana Raayan serta semua pihak selamat dan tiada malapetaka yang menimpa.
“Terima kasih banyak pada cikgu-cikgu, pihak sekolah dan juga pihak polis yang melindungi semua yang berada di sekolah termasuklah buah hati saya, Raayan,” katanya.
Terdahulu, sembilan sekolah antarabangsa di Lembah Klang dilaporkan menerima laporan palsu berkaitan ancaman bom, pagi ini.
Ancaman bom itu membabitkan tujuh sekolah antarabangsa di Selangor, dua lagi sekolah di ibu negara.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan pihaknya menerima tujuh hantaran emel mendakwa tujuh sekolah di Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang dalam bahaya berikutan ancaman bom itu.
Bagaimanapun sebaik unit pemusnah bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba dan membuat pemeriksaan mendapati perkara itu tidak benar.
Kredit: Harian Metro