Kuala Lumpur: Hantaran terbaru pemain bass Coldplay iaitu Guy Berryman di Instagram Story memberi bayangan band terbabit mungkin sudah sampai di sini sejak awal pagi hari ini.
Berryman, 45, menerusi hantaran terbabit memuat naik sebuah foto dipercayai di sebuah hotel sekitar Bangsar tanpa sebarang kapsyen.
Bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan rasmi baik dari band itu mahupun penganjur sama ada mereka sudah sampai.
Demikian juga pemantauan menerusi media sosial, belum ada perkongsian netizen mengenai keberadaan mereka di sini setakat ini.
Band fenomena dari United Kingdom itu bakal mengadakan konsert di sini buat julung kali menerusi Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Dianjurkan Live Nation Malaysia, tiket konsertnya ‘licin’ dalam tempoh empat jam selepas penjualannya dibuka pada Mei lalu.
Memandangkan sambutan luar biasa diberikan peminat Malaysia, ramai yang meminta agar penganjur menambah satu lagi hari acara terbabit.
Bagaimanapun, penganjur kekal dengan keputusan mengadakan sehari saja.
Terdahulu, Coldplay mengadakan konsert di Perth selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 November sebelum meneruskan siri jelajah ke negara ini.
Kredit: Harian Metro