Datuk Fazley Yaakob
Kuala Lumpur : Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berpendapat selebriti dan pempengaruh media sosial perlu bijak menilai sesuatu perkara berdasarkan fakta sebelum membuat sebarang keputusan.
Tegasnya, individu yang berpengaruh dan ternama tidak harus sewenang-wenang menunjukkan sokongan kepada pihak yang tidak sepatutnya.
“Sebelum mereka membuat sebarang keputusan, mereka perlu bijak menilai dan mencari fakta yang tepat, terutama sebelum menyatakan sokongan atau ketidak sokongan terhadap pihak-pihak tertentu.
“Mereka perlu ada pendirian yang khusus dan yang disokong oleh fakta, bukan fakta yang dicipta oleh netizen. Selebriti merupakan insan yang dipandang tinggi dan mudah dipandang rendah.
“Sebelum buat sesuatu fikir 10 kali. Kalau rasa dah terpost tak salah ‘delete’. Kalau rasa tersalah muat naik masih boleh perbetulkan lagi,” katanya.
Menurut Fazley, dalam era media sosial, hal-hal yang menyentuh sensitiviti perlulah dijaga, tidak kira dari segi konteks tanda suka, hashtag mahupun bentuk atau simbol emoji.
“Dalam era media sosial ini, kita tidak boleh menunjukkan yang kita menyokong pihak yang tidak sepatutnya. Sama ada konteksnya kita like, menggunakan hashtag atau pun meletakkan emoji bendera.
“Bagi saya, sensitiviti perlu dijaga terutama apabila kita membuat hantaran di media sosial. Kita pegang prinsip sebagai orang yang dikenali, menunjukkan sokongan pada orang yang tidak sepatutnya, sudah tentu ia memberi impak pada industri dan branding jenama individu itu,” katanya.
Fazley mengulas mengenai tindakan atlet badminton Malaysia, Goh Soon Huat dan Teoh Mei Xing yang memberikan butang tanda suka pada hantaran pelakon zionis Gal Gadot baru-baru ini.
Terdahulu Soon Huat dan pasangan beregu campuran persendirian, Shevin Jemie Lai digugurkan daripada senarai Road To Gold (RTG) selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa RTG.
Biarpun dinyatakan pengguguran Soon Huat dan pasangan beregunya adalah disebabkan oleh prestasi, namun, masih ada spekulasi dalam kalangan netizen yang mengaitkan kontroversinya sebelum ini sebagai sebab namanya tidak lagi tersenarai dalam program RTG.
kreadit : hmetro.com.my