Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Zizan Nin menafikan dakwaan dia menderita kanser namun menyorokkan hal itu gara-gara ada berkongsi gambarnya botak baru-baru ini.
Zizan, 50, berkata gambar itu adalah gambar beberapa tahun lalu untuk sebuah projek. Menurutnya dia sihat saja namun akui mempunyai masalah kolesterol tinggi.
“Gambar saya membotakkan kepala terbabit diambil ketika penggambaran filem Roxy dua tahun lepas. Saya sebenarnya kena pakai rambut palsu, jadi rimas gatal kepala. Itu yang saya botak terus.
“Alhamdulillah, bukan sakit kanser. Cuma kolesterol saya sangat tinggi. Kena jaga pemakanan tetapi bila terlebih jaga, itu yang kurus. Sekarang tahap kolesterol saya masih perlu pemantauanlah.
“Saya ada mengambil ubat kolesterol sekitar 2014 tetapi selepas dua tahun, saya berhenti dan jaga pemakanan dengan lebih ketat sehingga sekarang. Susah nak turun kolesterol, sebab genetik mungkin,” katanya ditemui ketika tayangan perdana filem pertama arahannya, Sazali Meor Coco di sini semalam.
Pemenang trofi Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-20 itu juga akui terkejut apabila berita itu tular namun tidaklah sedih dan tenang saja.
“Tak adalah sedih pun bila cerita tidak benar tersebar. Cuma saya rasa mereka ambil berat. Kita tak tahu kan keadaan, sebagai contoh Allahyarham Adibah Noor. Dia sembunyikan sakit sehingga hujung hayatnya.
“Cuma setakat ini, di usia 50 tahun ini, saya sihat. Buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Tapi itulah, kolesterol memang kena kawal,” katanya.
Filem Sazali Meor Coco menampilkan Syazani Zikry, Shahradhy dan Iman Zulkarnain sebagai tunjang utama. Ia terbitan Aquila Emas dan ada ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan pada Oktober lalu.
Kredit: Harian Metro