Shaheizy Sam ketika sidang media tayang filem La Luna di Dadi Cinemas Pavillion, Bukit Bintang. FOTO AZIAH AZMEE

Kuala Lumpur: Pelakon, Shaheizy Sam tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang mendakwa wujud syarikat produksi sekadar tangkap muat dalam menghasilkan karya selepas menerima Dana Kandungan Digital (DKD) daripada kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sam berkata, dia percaya setiap penerima geran DKD sudah berusaha keras menghasilkan karya yang bermutu sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada ramai penggiat kreatif.

“Sebagai pelakon, kami juga boleh menilai sama ada setiap tawaran yang diberikan syarikat produksi, mereka bersungguh-sungguh atau tidak.

“Tetapi tak adil untuk salahkan semua pembikin filem dan melabelkan mereka sebagai sekadar tangkap muat apabila menerima geran DKD. Bagi saya, penerbit filem cuma berpegang kepada apa yang mereka percaya betul.

“Mungkin orang lain nampak mereka buat kerja tak serius. Tetapi kita tak tahu niat dan usaha mereka. Lagipun selera setiap orang berbeza-beza. .

“Jadi, untuk melabel siapa yang lebih layak terima dana itu atau tidak, bukan kita. Tetapi saya letak pada tanggungjawab dan kebijaksanaan pemberi-pemberi dana itu sendiri,” katanya

Menurut Sam, dia tidak berani untuk mengulas mengenai kualiti sesuatu filem yang dihasilkan kerana ia terlalu subjektif.

“Kualiti filem yang dihasilkan oleh penerima geran ini agak subjektif kerana ada yang mungkin suka dengan naskhah itu, begitu juga sebaliknya.

“Tetapi apa yang saya nak bangkitkan di sini adalah apakah objektif pemberi dana ini? Ke mana hala tuju mereka? Adakah ada percubaan untuk membawa karya-karya itu ke luar negara? Kalau betul nak bawa hingga ke luar negara, carilah penerbit filem yang mempunyai reputasi cemerlang dalam kerja mereka.

“Contohnya, macam penerbit dan pengarah filem La Luna atau Tiger Stripes. Mereka ini dah terbukti sudah sampai ke Jepun, Indonesia. Filem Tiger Stripes contohnya, sudah sampai Oscar, menang juga di Festival Filem Cannes,”katanya.

kreadit : hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *