Majlis resepsi Sabri Yunus dan Angelina Tan anjuran Pemekar di Grand Barakah Hotel. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 62, yang baru melangsungkan perkahwinan dengan Ardini Angeline Tan, 56, memaklumkan ada pihak menawarkan dia menjadi duta produk ubat kuat, tetapi menolaknya kerana merasakan ia tidak sesuai dengan usianya.

“Mentang-mentang kami yang dah berusia kahwin, ada pihak tawarkan produk ubat kuat dan saya tolak. Saya segan dengan pandangan masyarakat sekeliling.

“Saya jawab kalau kamu ada produk yang mengurangkan (tenaga batin) saya nak. Nak tambah kuat saya tak nak,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi mereka anjuran Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni (Pemekar) yang berlangsung di Hotel Grand Barakah, Ampang, di sini, malam tadi.

Ditanya mengenai majlis resepsi yang diadakan, Sabri dan Angeline terharu apabila terus diraikan rakan-rakan penggiat industri dan orang luar.

“Ini satu benda yang saya tak pernah jangka dan tak pernah fikir untuk buat. Resepsi ini adalah perkara yang kami tak buat kerana yang pertama kami tua, nak buat apa resepsi?

“Yang kedua kami tiada duit, tapi bila jadi macam ini, ada siri-siri yang nak buat resepsi, bagi kami rasa sangat beruntung.

“Saya tak sangka. Saya rasa Allah sayang saya, saya rasa juga orang sayang saya. Alhamdulillah,” katanya.

Bercerita lanjut, Sabri berkata, ada beberapa resepsi lagi yang akan diadakan di mana jumlah semuanya tujuh termasuk di Kelantan secara besar-besaran.

“Saya tak tahu dan serahkan saja kepada pihak yang menganjur. Kalau jadi, jadilah. Saya tak fikir orang nak gunakan populariti kami dan lebih fikir orang sayang.

“Kami tak fikir orang tumpang kita sebenarnya. Kami hanya fikir orang meraikan untuk kita dan kita sangat menghargai dan kita rasa terharu,” katanya.

Mengulas sekiranya perkahwinan mereka boleh dianggap Wedding Of The Year’, pasangan ini memaklumkan mereka sedia menerima kenyataan ini.

“Kami terima orang nak kata macam itu walaupun kita masih pening, dan macam tak percaya. Tapi tak mengapa apa yang boleh saya kata saya bersyukur.

“Walaupun saya mungkin tak dapat pergi ke tempat yang orang nak raikan kita, saya akan umumkan juga nama pihak-pihak yang nak buat dan tempatnya. Sebenarnya kami penat tapi kita ikutlah,” katanya.

Sementara itu, pasangan ini tampil segak dan menawan apabila menggayakan baju tradisional songket warna sedondon iaitu biru muda.

Ini majlis resepsi kedua Sabri dan Angeline selepas diraikan oleh sebuah stesen penyiaran pada 17 Oktober lalu.

Penyampai radio Issey Fazlisham yang juga anak didik Sabri turut membuat persembahan bersama kumpulan dikir barat khas untuk majlis ini. Turut menghiburkan tetamu ialah Roslan Madun dan Sophia Ibrahim manakala Abon bertindak sebagai pengacara.

Majlis resepsi Sabri dan Angeline dimeriahkan dengan kehadiran lebih 500 tetamu.

Istimewanya tetamu yang hadir ialah pengarah Pi Mai Pi Mai Tang Tu… Othman Hafsham serta penggiat seni lain seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail, Datuk Rosyam Nor, Mustapha Kamal, A Galak, Mubarak Majid dan Presiden Pemekar, Amran Nasruddin.

Terdahulu, pasangan berkenaan selamat dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza pada 14 Oktober lalu.

kreadit : hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *