Georgetown: “Sebenarnya bukan hijau tetapi ‘turquoise’ (biru firus).”

Demikian jawapan penyanyi, Hafiz Suip diiringi ketawa kecil ketika mengulas penampilannya yang kini hampir botak selepas kontroversi mewarnakan rambut demi mempromosi single terbaharu, Terus Bersinar.

Hafiz, 33, mendedahkan keputusan memilih warna berkenaan dilakukan secara spontan tatkala membelek katalog fesyen sambil berbincang dengan pendandan rambutnya.

Pemilik nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip itu turut bercerita beliau ketika itu mengikuti siri aksi nyata One Piece dan mendapat inspirasi daripada satu daripada watak diminatinya, Roronoa Zoro.

“Saya mengaku warnakan rambut sebab mahukan perhatian. Bila dah buat rasa segan juga. Saya mohon maaf kepada warga Malaysia kerana perkara itu agak sensitif sebenarnya.

“Saya sedar cuma itulah hiburan. Menjadi lumrah, kalau sensasi baru dapat perhatian, kalau biasa-biasa orang tak ambil tahu,” luahnya ketika ditemui selepas memenuhi undangan persembahan dekat sini, malam tadi.

Namun, pelantun lagu Awan Nano menjelaskan imej rambut berwarna seakan-akan hijau itu hanya bertahan lima hari sebelum ‘dikorbankan’ kerana beliau sedar ia memberi pengaruh kurang baik kepada anak sulungnya, Riyadh Zafri.

“Saya lihat tindakan itu juga mempengaruhi budak-budak terutamanya anak saya yang berumur enam tahun. Dia kata, ‘Bonda, saya pun nak rambut macam ayah.’ Beristighfar saya masa itu.

“Saya faham perkara itu salah di sisi agama kita. Saya tidak menghitamkan kembali warna rambut sebaliknya terus membotakkan kepala. Jadi sekali lagi maafkan saya,” ujarnya.

kreadit : hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *