Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya masih perlu menjaga cara penyampaiannya tanpa mengguris pihak lain dalam pada lantang bersuara mengenai sokongannya terhadap Palestin.

Scha, 40, berkata ada yang tidak senang dia agak lantang tapi baginya sebagai figura awam, dia harus gunakan platformnya untuk bersuara dengan corak penyampaian lebih berhemah.

“Jika pihak lain tidak senang dengan kelantangan saya bercakap mengenai Palestin, saya rasa itu salah merekalah. Ini kerana, akhirnya ini adalah negara Islam. Kenapa saya perlu takut bising-bising di luar?

“Ya saya banyak (kerja dengan) jenama yang kita tahu siapalah kan. Tapi ia terpulang bagaimana kita sampaikan jugalah. Kita boleh tunjuk sokongan tanpa menghentam terlalu kasar.

“Kena tahu berlapik, apa nak cakap, dan bagaimana nak cakap. Hal itu paling penting. Saya rasa ramai yang kurang senang juga tapi mereka mesej peribadi (DM) sajalah. Itu okay, saya boleh kawal. Bukannya mereka hentam di media sosial saya,” katanya ditemui di sidang media Hero Dewi Remaja 2023, di sini, semalam.

Scha percaya kelantangannya bersuara juga adalah bentuk sokongan terbaik yang mampu membantu dalam krisis isu berlaku di Palestin sekarang.

“Ada yang akan cakap apalah sangat kita (Malaysia) negara kecil. Ia membantu. Apabila kita kumpulkan semua, ia akan jadi satu kuasa besar. Buat saja apa yang kita rasa betul,” katanya.

Dalam pada itu, Scha juga berhati-hati menjayakan komitmen dimahukan klien sekarang dan perlu bijak cari masa lebih sesuai.

“Ada yang kadang-kadang terlupa dan bagi tarikh untuk buat hantaran. Saya akan cakap saya kurang selesa dengan apa terjadi sekarang. Kita perlu pilih masa yang sesuai.

“Sangat penting untuk saya berkomunikasi dengan mereka dan mereka faham. Kita kena bijak dan bukan sekadar ikut arahan. Saya kena fikir juga kesannya.

“Ada yang jemput hadir acara dan saya akan tolak secara baik. Sebab mereka bukannya tak sensitif, mereka ada kalendar yang perlu ikut. Tapi kami sebagai bakat, kami ada pilihanlah,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *