Kuala Lumpur: Pelakon popular Ahirine Ahirudin, 26, memberitahu dia akan menjalani pembedahan untuk merawat masalah sinus atau resdung di sebuah pusat perubatan swasta di sini, hari ini.

Menurut heroin filem Tebus itu, dia sudah menderita masalah sinus itu sejak empat tahun lalu.

“Masalah sinus ini sangat mengganggu saya terutama ketika melakukan aktiviti lasak dan bersukan.

“Pada masa sama, masalah sinus ini mengganggu tumpuan pada kerjaya seni,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengenai pembedahan sinus itu pula, kata Ahirine, ia dijangka mengambil tempoh selama lima jam kerana agak rumit.

“Saya dimasukkan ke pusat perubatan ini sejak semalam dan pembedahan dijadualkan hari ini.

“Pembedahan perlu dilakukan dengan segera kerana menurut doktor keadaan sinus sudah ‘darurat’ (teruk) dan sudah merebak ke semua bahagian,” katanya.

Ditanya berapa lama dia akan berehat selepas pembedahan pula, kata Ahirine, semuanya bergantung pada doktor.

“Kalau semuanya berjalan lancar, Insya-Allah, saya akan kembali ke lokasi penggambaran secepat mungkin.

“Saya juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri Restu untuk saluran iQIYI dan perlu menghabiskan baki penggambaran drama itu,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *