KUALA LUMPUR: Bukan sahaja melakar sejarah peribadi sebagai konsert pertama buatnya di bumi Malaysia, malah Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu dianggap sebagai momen indah buat penyanyi terkenal dari Indonesia itu.

Belum pernah berlaku seluruh keluarga besarnya seperti isteri, anak-anak, orang tua dan ibu bapa mentuanya hadir memberikan sokongan, namun itulah yang terjadi pada konsert anjuran bersama Dua Anak Deo (DAD) Management dan Kharisma Music International itu.

Kehadiran ahli keluarga bagaikan menyuntik semangat buat pemilik nama lengkap Judika Nalon Abadi Sihotang ini.

“Hari ini cukup lengkap kerana mama, papa serta ibu bapa mentua dapat datang menyaksikan konsert pertama saya di Malaysia dengan ramai penonton.

“Bagi saya, ini adalah kebahagiaan yang tidak boleh dibayar dengan apapun.

“Mereka buat keputusan untuk datang. Mungkin konsert sebelum ini agak biasa kerana selalunya habis nyanyi saya terus pulang.

“Namun, konsert kali ini cukup istimewa dan saya perlukan sokongan dan doa mereka sebelum buat persembahan,” ungkap Judika pada sidang media selepas konsert.

Konsert berdurasi tiga jam ini juga bagaikan dokumentari buat Judika apabila mendedahkan pelbagai kisah mengenai kehidupannya termasuk perjuangannya mendapatkan keizinan ibu bapa mentua supaya merestui perkahwinan.

Berkongsi lanjut perkara itu, Judika mengakui, hubungannya dengan isterinya, Duma Riris Silalahi mendapat tentangan dan selama enam tahun dirinya berusaha keras memenangi hati ibu bapa mentua.

“Hubungan kami dihalang kerana kerjaya saya sebagai penyanyi dan isteri pula adalah bekas pemenang Puteri Indonesia 2007.

“Enam tahun saya berjuang mempertahankan cinta walaupun dilarang.

“Bagaimanapun, akhirnya saya dapat juga bertemu ibu bapa mentua dan akhirnya mendapat restu mereka.

“Sebagai lelaki, saya kena buktikan yang saya serius mahu menikahi anaknya dan untuk itu, saya berusaha memantapkan kerjaya nyanyian dan membuat persiapan seperti membeli rumah,” ujarnya.

Pengalamannya sebagai pejuang cinta itu turut diabadikan Judika menerusi lagu Mama Papa Larang yang turut menjadi antara 24 lagu yang didendangkan pada malam itu.

Bagaikan dokumentari, Judika mendendangkan koleksi lagu yang berkisar kehidupannya. - Foto Ihsan DAD Management
Bagaikan dokumentari, Judika mendendangkan koleksi lagu yang berkisar kehidupannya. – Foto Ihsan DAD Management

Pada usia 45 tahun, ternyata stamina yang dimiliki penyanyi berketurunan Batak ini kekal ampuh.

Vokal paraunya menjadi senjata utama untuk memukau 12,000 penonton yang membanjiri stadium tertutup itu.

Mempunyai himpunan lagu yang kebanyakannya berkisar mengenai perhubungan, Judika memainkan peranan sebagai doktor cinta yang sedang mengubati pesakit dengan menjadikan lagunya sebagai penawar.

Lagu didendangkan bukan sahaja dicipta untuk mereka yang bahagia di alam percintaan, tetapi juga dibikin untuk mereka yang galau dan patah hati kerana cinta dicurangi serta dikhianati, selain mengharapkan cinta kepada si dia yang sudah berpunya.

Antara untaian indah didendangkan Judika termasuklah Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Terluka, Jadi Aku Sebentar Saja, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja, Jikalau Kau Cinta, Bukan Dia Tapi Aku, Tiada Lagi, Putus Atau Terus, Sampai Akhir, Aku Yang Tersakiti dan Cinta Karena yang menjadi lagu penutup konsert yang gilang-gemilang itu.

Judika turut menunaikan janjinya seperti yang dilafaz pada sidang media konsert apabila memilih tiga lagu popular penyanyi Malaysia untuk dinyanyikan.

Lagu Buih Jadi Permaidani yang tajuk asalnya adalah Mengintai Dari Tirai Kamar dendangan kumpulan Exists, Sejati (Wings) dan lagu berirama tradisional yang dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Cindai dinyanyikan dengan sepenuh jiwa.

Persembahan malam itu diiringi oleh pemuzik orkestra di bawah pimpinan maestro muzik Indonesia, Tohpati.

Konsert ini turut menampilkan tiga penyanyi undangan dari Malaysia iaitu Shila Amzah, Haqiem Rusli dan Marsha Milan.

Turut ditampilkan, tiga bakat baharu dari Indonesia iaitu Dnanda, Daniel dan Axin yang juga artis di bawah pengurusan DAD Management.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *