Kuala Lumpur: Kumpulan Bocey mengakui tawaran daripada stesen TV semakin berkurangan selepas kematian Abam, tiga tahun lalu.

Anggotanya, Achey, 37, berkata, mereka semakin jarang muncul di program televisyen disebabkan tiada tawaran daripada pihak stesen TV.

“Saya tak nak fikir apa-apa yang negatif tapi saya mengandaikan situasi ini berlaku disebabkan stesen TV anggap Bocey sudah tidak lengkap selepas Abam tiada.

“Mudah kata, semenjak Abam meninggal dunia, saya dan Fad kurang mendapat panggilan atau tawaran yang besar untuk karier kami khususnya di televisyen.

“Pendapat saya, mungkin pada pandangan pihak produksi di luar sana merasakan Bocey itu sendiri tidak lengkap tanpa tiga ahli asal,” katanya.

Achey dan Fad yang sering meraih kejayaan menerusi Bocey semasa Abam masih ada berkata, ini hanya pandangan peribadinya dan dia sering berbincang dengan Fad berkenaan perkara ini.

“Apa-apa pun yang berlaku sekarang ini, kita hadap saja dan teruskan bawa nama Bocey. Kalau nak cari pengganti nanti dah tak jadi Bocey dah.

“Walaupun berdua, kita jalan sajalah. Sama ada kuat atau tidak, kita kena cuba sebaik mungkin. Kami optimis nak kekalkan jenama Bocey.

“Pada saya ia bukanlah satu hukuman tapi lebih kepada ujian buat Bocey. Ujian untuk kami sama ada kuat atau tidak untuk meneruskan karier kami. Atau adakah kami nak terus biarkan ia terkubur?,” katanya.

Menurutnya, mereka pernah melalui jerih perih dari dulu lagi untuk menaikkan nama Bocey, jadi ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk mereka mempertahankan nama Bocey sampai bila-bila.

Dalam perkembangan berkaitan, Achey serta ramai selebriti lain antaranya Black Hanifah, Ajak Shiro, Uchop Ahmad dan Tajul akan terbabit dalam program Event Legacy Raider 2.0 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Oktober ini di KL Base, di sini.

Event Legacy Rider 2.0 adalah program yang menghimpunkan belia yang terbabit dengan sukan permotoran dalam sebuah program santai dan turut menampilkan selebriti tempatan.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *