Kuala Lumpur: Dua stesen radio swasta iaitu ERA dan Suria FM buat julung kali bergabung untuk bersiaran secara serentak menerusi frekuensi masing-masing dalam segmen 3 Pagi ERA dan Morning Morning Suria pada Isnin ini dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Enam penyampai daripada stesen radio terbabit bersatu menghiburkan pendengar mereka iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad dari 3 Pagi ERA, manakala Ajak, Suraya Borhan dan Shuib mewakili Morning Morning Suria.

Pengurus Kandungan ERA, Hani Fadzil berkata, pihaknya teruja untuk bersama-sama Suria FM dalam menjayakan ERA SURIA, Di Sini Segalanya Terkini yang menjadi gabungan kerjasama pertama mereka.

“Walaupun kerjasama ini membabitkan dua jenama stesen radio dari latar belakang yang berbeza buat pertama kalinya, namun kami percaya bahawa pengisian kandungan terbaik untuk pendengar adalah perkara utama.

“Jadi, kami ingin mempamerkan persaingan sihat di antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama kepada semua pendengar yang sentiasa setia menyokong kami selama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, pihaknya mengalu-alukan dan menyambut baik jalinan kerjasama bersama ERA sekali gus melihat ia sebagai sejarah baru akan tercipta dalam industri radio tanah air.

“Dengan jalinan kerjasama antara Suria FM dan ERA ini memperlihatkan kami sebagai stesen radio swasta walaupun bersaing dari segi ‘ranking’ dan jumlah pendengar, tapi tetap tiada masalah untuk bekerjasama.

“Saya harap usaha kerjasama yang cuba dilakukan ini akan menjadi simbolik untuk memupuk ikatan silaturahim serta semangat setiakawan tinggi demi melihat industri radio terus berkembang dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Hani dan DJ Lin hadir pada sidang media pengumuman khas Radio Tanpa Batas di Astro, Bukit Jali, di sini, hari ini.

Gandingan kerjasama antara ERA dan Suria FM ini juga bakal dicatatkan untuk pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *