KUALA LUMPUR: Kritikan segelintir pihak yang tidak berpuas hati apabila filem diangkat daripada kisah benar didakwa tidak menggambarkan realiti yang berlaku, memberi pengajaran kepada Datuk Afdlin Shauki untuk lebih berhati-hati apabila berkarya.

Bakal mengarahkan filem berkisar sukan popular negara iaitu bola sepak, Afdlin memberitahu, pembikinan naskhah Harimau Malaya: The Untold Journey masih berunsur fiksyen biarpun kebanyakan isu diketengahkan dalam naskhah itu benar-benar terjadi.

“Antara alasan filem dibikin dengan mengambil inspirasi daripada kisah sebenar kerana bukan mudah untuk kita dapatkan hak cipta daripada individu, jika kita mahu paparkan watak mereka di layar perak.

“Jika kita ada 10 pelakon, kami perlu dapatkan persetujuan mereka (karakter asal). Tak boleh ada yang setuju dan ada yang tidak. Unsur fiksyen membolehkan kami lebih kreatif dalam mengolah watak.

“Untuk Harimau Malaya: The Untold Journey, 60 peratus jalan ceritanya adalah fiksyen. Bagaimanapun, bagi mengelak klise, kami sentuh isu sensitif seperti kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Harimau Malaya,” katanya pada majlis pelancaran Harimau Malaya: The Untold Journey di sebuah hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menghuraikan lebih lanjut, Afdlin berkata, perspektif filem arahannya itu lebih kepada pengurusan FAM iaitu bentuk cabaran dihadapi dan apa yang dilakukan sehingga berjaya mengubah nasib Harimau Malaya.

“Turut dipaparkan konflik dalam FAM apabila presidennya beberapa kali digesa melepaskan jawatan. Ini termasuk rombakan dalam pentadbiran, selain pernah digelar bangsat.

“Pernah berlaku Presiden FAM yang ketika itu seorang kerabat diraja dikecam untuk melepaskan jawatan dalam Ultras Malaya,” katanya.

Membabitkan kos RM5 juta, Harimau Malaya: The Untold Journey terbitan 4ward Pictures Sdn Bhd, mengangkat perspektif terhadap situasi yang berlaku kepada FAM selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.

Afdlin berkata, filem itu akan memasukkan empat perspektif iaitu membabitkan pihak pengurusan; penyokong Harimau Malaya, Ultras; jurulatih Kim Pan Gon dan pemain.

“Untuk menjadikannya lebih menarik dan memiliki elemen, kami paparkan kisah bagaimana seorang pemain bola yang berdepan dengan kejutan budaya.

“Watak ini dilakonkan Syafiq Kyle yang sebenarnya wujud dalam dunia bola sepak apabila mereka yang sebelum ini bukan siapa-siapa, tiba-tiba menjadi ternama, kaya dan mempunyai teman wanita dalam kalangan selebriti.

“Karakter ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu, tetapi kalau ada yang terasa, terpulang. Siapa yang makan cili, dialah terasa pedas,” katanya.

Ditanya adakah bersedia jika ada babak dalam filem itu menjadi mangsa ‘gunting’ Lembaga Penapis Filem (LPF) atau bantahan FAM, Afdlin berkata, dia akan cuba mempertahankan haknya.

“Setakat ini, FAM beri kepercayaan penuh kepada kami untuk buat skrip. Kami perlu tunjuk kepayahan FAM dari awal hingga mereka berjaya melakukan perubahan. Mereka tidak ada masalah mengenai perkara itu kerana ia memang berlaku.

“Bagaimanapun kalau sudah siap, pengurusan FAM hendak tengok sebelum filem ditayangkan. Biarpun filem ini naskhah inspirasi, kami cuba paparkan sejujur mungkin.

“Jika ada babak yang mungkin ditapis LPF, saya cuba pertahankan dengan memberi alasan yang rasional.

“Saya akan cuba bawa filem ini tahap ekstrem. Tetapi, kalau kena tarik belakang sikit, bolehlah tarik sikit. Apa yang lebih penting, karya ini mampu menyuntik semangat patriotisme terhadap pasukan bola sepak tanah air,” katanya.

Bakal memulakan penggambaran Ahad ini, filem Harimau Malaya: The Untold Journey

dijangka ditayangkan di pawagam di seluruh negara, April tahun depan. Tarikh tayangan dipilih sempena beberapa perlawanan bola sepak penting pada bulan itu.

Selain Syafiq, antara pelakon yang membintangi filem itu adalah Aidil Aziz, Sophia Albarakbah, Tony Eusoff, Namron, Kevin Jay dan ramai lagi.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *