KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan Konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2019, kumpulan rock, Butterfingers sekali lagi mengukir sejarah apabila berjaya mengumpulkan lebih 6,000 peminat pada Konsert Malayneum 23 di lokasi sama, Sabtu lalu.

Terbukti kumpulan ditubuhkan pada 1993 ini masih berbisa, apatah lagi, bertenaga menghiburkan peminat selama tiga jam melalui dendangan 26 lagu yang kebanyakannya dipetik daripada album keempatnya, Malayneum, yang dilancarkan pada 2001.

Membuka tirai persembahan kira-kira jam 8.45 malam, Emmett, Loque, Loko dan Kadak tampil mempersembahkan lagu Malayneum, memberi simbolik kepada konsert yang meraikan dua dekad penghasilan album berkenaan.

“Terima kasih kerana hadir,” kata Emmett selaku vokalis disambut tepukan gemuruh peminat.

Fokus dengan lontaran vokal melalui dua lagu pembukaan iaitu Malayneum dan Antidotes, Emmett kemudian mengotakan janjinya dengan bermain gitar hingga ke penghujung konsert.

Biarpun sudah lama tidak beraksi di pentas sebesar itu, Emmett yang sebelum ini menetap sementara di Kanada, bertenaga. Sama juga energi dilihat dalam diri Loque, Loko dan Kadak.

Sekali-sekala Loque dan Loko berjenaka dan berbual santai bersama peminat. Antara yang mencuit hati apabila Loko yang juga pemain dram, diminta Loque untuk menyampaikan lagu Scan. Loko sebelum ini mengukir nama menerusi kumpulan Scan pada era 1990-an.

Bakatnya sebagai pemain dram menyerlah sehingga diterima menyertai kumpulan Butterfingers sebagai pengganti Kalai yang menyambung pengajian di Amerika Syarikat (AS).

Malah, Loko juga bergurau apabila berterima kasih kepada Kalai yang memilih untuk berundur dari kumpulan itu.

Mengimbas memori sepanjang bergelar pemuzik lebih tiga dekad, Loque menyimpulkan konsert itu bagaikan momen di mana seluruh stadium dibawa merentasi masa.

“Semua orang di Stadium Malawati ini melalui mesin masa bersama Butterfingers. Ada muka baharu dan muka lama. Mungkin ketika kami keluarkan album ini, ada yang belum lahir lagi? Apa-apa pun terima kasih kepada semua yang hadir,” katanya.

Tidak hanya celoteh masing-masing membuatkan penonton terhibur, malah, paparan video yang mengiringi setiap persembahan Butterfingers, menarik perhatian.

Kebanyakan klip ditayangkan adalah sedutan daripada filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Berbalik kepada muzik, konsert malam itu diiringi lapan pemuzik tambahan seperti pemain alat muzik trumpet dan trombol yang memantapkan lagi aksi Butterfingers.

Emmett mengotakan janjinya menyanyi dengan bermain gitar hingga ke penghujung konsert. - NSTP/Hazreen Mohamad
Emmett mengotakan janjinya menyanyi dengan bermain gitar hingga ke penghujung konsert. – NSTP/Hazreen Mohamad

Seperti yang pernah dikongsi teraju utama Butterfingers, Loque atau nama sebenar, Khairil Ridzwan Annuar, lagu dalam album Malayneum sangat berbeza berbanding album lain.

“Ketika merakamkan album ini, kami agak bosan dengan ‘power chords’. Otak kami juga sudah pecah kepada pelbagai saluran kreativiti.

“Ketika itu, Emmett dan saya dipengaruhi muzik di luar aliran ‘rock’ atau ‘grunge’.

“Album Malayneum secara kiasannya ibarat ‘senjakala’. Album ini perantara antara siang dan malam.

“Oleh kerana itu, kami suntik elemen akustik dan elektronik seperti penggunaan biola ‘string quartet’, ‘horn section’ (trumpet dan trombol) dan juga permainan runut sampel antaranya seperti suara Allahyarham P Ramlee dan ‘synthesizer’,” katanya.

Semua bunyian itu jelas dapat didengari sepanjang persembahan selama lebih tiga jam itu.

Menepati jolokan konsert ‘balas dendam’, anggota Butterfingers tampil bertenaga biarpun masing-masing melewati usia. Malah, peminat dalam kelompok usia sama sangat terhibur dengan seleksi lagu dipersembahkan.

Antara lagu yang didendangkan adalah State Of Abbysmal; Ugly; Faculties; Floating In A Vacuum; Mating Season; Pretty Rain; Royal Jelly dan The Chemistry.

Turut dipersembahkan Epitome; Garden C; Pacific; Viopipe; Wet Blanket; Skew dan To Gather.

Konsert yang berakhir hampir jam 12 tengah malam itu ditutup dengan segmen ‘encore’ menerusi lagu Jump And Dive dan Tahun 2001.

Turut hadir peminat setia Butterfingers iaitu penyampai radio Hot FM yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, 47, atau mesra disapa KJ.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *