Rentetan perkongsian pentas pada 2018, kumpulan Tilu dan penyanyi utama Kugiran Masdo, Ali Sariah merealiasikan impian bekerjasama buat julung kalinya. Menerusi lagu berjudul Terlanjur Cinta yang dilancarkan pada 6 Oktober lalu, projek itu terlalu istimewa.
Dianggotai Amirah Asraf, 33, selaku vokalis, Deo Karmawan, 35, gitar, Bob Skunjas, 40, dram, dan Zaim Zaidee, 40, bass, Tilu tidak segan mengaku niat mempertaruhkan Ali, 31, adalah strategi mereka naikkan nama semula.
Selepas lebih sedekad menyepi, kumpulan itu menyimpan cita-cita besar ingin menyerlah semula dalam industri muzik. Tidak pernah padam semangat mereka untuk terus menyajikan karya terbaik buat pencinta muzik tempatan.
Justeru, pelancaran Terlanjur Cinta bakal menjadi titik pemula misi ‘comeback’ mereka.
Amirah berkata, perancangan untuk kembali menyinar dalam industri itu sebenarnya dibuat sejak hujung tahun lalu.
“Besar cita-cita kami untuk tampilkan muzik baharu selepas kali terakhir aktif pada 2012. Dalam tempoh itu, ada juga kami terbabit persembahan sekali-sekala tapi untuk lepas gian sahaja.
“Jadi, sekarang masa untuk menebus ‘kehilangan’ itu dan munculkan semula nama Tilu. Kami merancang untuk keluarkan album baharu nanti tapi buat masa ini biar single demi single dulu.
“Sebenarnya Terlanjur Cinta adalah lagu kedua selepas Jun lalu ada lancarkan lagu runut bunyi drama iaitu Pendar. Keutamaan kami adalah untuk dikenali semula dan perbanyakkan persembahan pentas,” katanya.
Berkongsi lanjut apa berlaku kepada Tilu dalam tempoh lama menyepi itu, Deo berkata mereka sebenarnya masih berada dalam radar muzik. Cumanya fokus mereka terhadap aktiviti seni secara berasingan.
“Macam Bob dan Zaim, mereka memang pemuzik sepenuh masa. Mereka pun sering terbabit dengan pelbagai persembahan dan dalam tempoh itu turut menulis lagu khas buat Tilu.
“Kami akhirnya nekad kembali dalam industri kerana ingin tampilkan Tilu yang sudah cukup dewasa. Kami gunakan pengalaman ditimba dalam tempoh 10 tahun sebagai resipi karya muzik kami.
“Masih lagi akan menggunakan DNA Tilu sedia ada, namun kami juga banyak menyuntik bunyi segar dan terkini. Selain bereksperimen, kami ingin pastikan karya kami diterima segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Bercerita mengenai Terlanjur Cinta, Zaim bersyukur projek itu terutama melamar Ali menjadi sebahagiannya dipermudahkan. Penghasilannya pun dibuat tahun ini juga daripada sifar.
Menurutnya, perjalanan itu benar-benar membuatkan lagu itu ada tempat yang sangat istimewa dalam hati mereka. Lebih manis, ia dicipta penuh suntikan rasa yang mampu menambat hati bukan saja pendengar tapi golongan pemuzik.
“Perbincangan sejak Mac membawa kepada rakaman pada Mei. Semuanya dihasilkan daripada sifar, baik melodi, struktur lagu, lirik, sehinggalah corak nyanyian yang harmoni sekali jalan.
“Proses itu jugalah yang membuatkan kami tersentuh hati dengan usaha keras sendiri. Kami cukup puas hati dan yakin aura lagu ini mampu dinikmati penuh rasa oleh pendengar dan pergi jauh.
“Kami juga amat berterima kasih kepada Ali atas kerendahan hati serta bantuan besarnya menjadikan hasilnya terlalu memuaskan. Selebihnya nanti, biar pendengar menilai dan semoga mereka jatuh cinta juga,” katanya.
Meskipun kini hakikatnya Ali berada jauh lebih memuncak karier muziknya, namun dia akui projek itu sebenarnya sebuah mimpi lama yang jadi kenyataan. Dulu, dia adalah peminat setia Tilu.
Peluang tampil projek bersama itu ditadahnya dengan tangan terbuka. Dia bahkan sangat menghormati acuan yang perlu diseimbangkan dalam lagi itu tanpa ego mengikut identiti sendiri saja.
“Hal paling berharga saya pelajari bersama Tilu adalah corak berkarya yang lebih mendalam sejak proses awal. Selama ini, kalau saya tulis lagu ikut apa yang saya nakkan saja.
“Tapi dengan mereka, berbeza kerana nikmat kerja keras daripada awal paling dirasai tatkala hasil akhirnya siap. Lagipun, saya sendiri mengagumi hala tuju muzik mereka sejak dulu dan ingin bersatu sempurna dengannya.
“Namun identiti saya memang kekal masih ada meskipun muziknya mungkin tidak seperti kebiasaan ada pada Kugiran Masdo. Saya harap sisi berbeza ini jugalah akan mampu memikat pendengar menikmati Terlanjur Cinta,” katanya.
Kredit: Harian Metro