Bukit Jalil: Kemunculan pemain dram kacak, kumpulan Dewa 19, Tyo Nugros paling mencuri perhatian penonton ketika Konsert Dewa 19, A Night At The Orchestra Chapter 5, Live In Malaysia yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Malah, setiap kali wajah Tyo atau nama sebenar, Satyo Nugroho, 53, yang persis bintang K-Pop itu muncul di layar skrin yang terletak di kiri dan kanan pentas, pasti kedengaran sorakan dan jeritan ‘histeria’ dari peminat wanita.

Sebelum ini, Tyo juga pernah tular apabila ramai peminat yang terpesona dengan wajah kacaknya ketika menjayakan Konsert 30 Years of Dewa 19 pada September tahun lalu.

Selain Tyo, kumpulan rock popular Indonesia, Dewa 19 menampilkan empat anggota dan vokalis iaitu ketua kumpulan, Ahmad Dhani, Ari Lasso, Virzha dan Ello.

Sementara itu, konsert Dewa 19, A Night At The Orchestra Chapter 5 juga berjaya menarik seramai 7,000 penonton yang membanjiri Axiata Arena berkenaan sejak awal lagi.

Pada sidang media semalam, Ahmad Dhani juga memberitahu, konsert dengan iringan orkestra itu menampilkan sisi berbeza kumpulan itu.

Ternyata, konsert berdurasi tiga jam diketuai maestro muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito dengan iringan 54 pemuzik orkestra dari Malaysia itu berjaya mendapat sambutan hangat dari peminat setia Dewa 19 yang menggelarkan diri mereka sebagai Baladewa dan Baladewi.

Pada konsert dengan iringan orkestra yang bermula jam 9 malam itu, kumpulan Dewa 19 menampilkan persembahan mantap dengan mendendangkan sebanyak 34 lagu termasuk lagu hits seperti Arjuna, Elang, Risalah Hati, Roman Picisan dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan, Dewa 19 turut berkolaborasi dengan tiga artis popular tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi sekali gus menyemarakkan lagi persembahan pada malam itu.

Konsert bahagian kelima, Dewa 19, A Night At The Orchestra ini dibawakan oleh Icon Entertainment.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *