Kuala Lumpur : Penyanyi kumpulan rock terkenal pertengahan era 1980-an, Crossfire iaitu Aim ‘pening’ untuk mencari wang sebanyak RM4,000 untuk membiayai pembedahan anaknya yang kemalangan.

Aim atau nama sebenarnya, Abdul Halim Hussin, 55, yang menetap di Muar, Johor berkata, anak sulungnya, Muhammad Aiman Hazim, 25, terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari kerja malam Ahad lalu dan memerlukan wang sekitar RM4,000 untuk pembedahan.

“Sebuah kereta tergesel dia menyebabkan dia hilang kawalan dan melanggar kereta yang ada di sebelah sehingga terjatuh.

“Ia mengakibatkan kepala sendi pinggul terkeluar dari soket dan patah. Malam kelmarin (Ahad) dia ditidurkan sebab nak buat pembedahan kecil.

“Proses memasukkan tulang pinggul sudah dilakukan. Tapi doktor kata tulang pinggul yang patah itu belum dapat dibuat apa-apa sebab belum terima RM4,000 daripada pihak kami,” katanya kepada Harian Metro.

Aim berkata, jumlah ini hanya untuk pembedahan antaranya untuk membeli skru untuk menguatkan tulang, namun tidak termasuk bil hospital dan perbelanjaan perubatan.

“Yang sekarang saya jadi pening, mana nak cari RM4,000. Doktor kata kalau dapat bagi duit hari ini, Rabu atau Khamis dah boleh buat pembedahan itu.

“Maknanya pembedahan ini akan disempurnakan. Saya memang tak mampu nak sediakan jumlah itu kerana pendapatan saya pun bergantung kepada studio sahaja.

“Untuk cari jumlah itu dalam masa terdekat memang sukar. Saya berharap mana-mana pihak atau peminat boleh bantu mencukupkan jumlah ini,” katanya.

Mereka yang mahu menderma boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad 4053867802 atas nama Abdul Halim Hussin.

Crossfire popular dengan lagu Realiti dan Fantasi menerusi album pertama, Fatamorgana.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *