KUALA LUMPUR: Suasana sayu menyelubungi Konsert 5 Rukun di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila kumpulan Rabbani menyampaikan lagu Pergi Tak Kembali, berpadu suara dengan penyanyi dan komposer, Daqmie.

Persembahan itu menyentuh hati penonton apabila masing-masing terkenang pemergian vokalis kumpulan nasyid tersohor itu, Allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang meninggal dunia akibat serangan jantung, kira-kira 14 tahun lalu.

Sebelum nyanyian bermula, penonton disajikan dengan tayangan video figura dunia nasyid yang terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi, termasuk Allahyarham Ustaz Asri sambil diiringi melodi lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti.

Usai menyampaikan lagu hasil ciptaan KRU itu, Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap sempat berkongsi kenangan hari-hari terakhir sebelum pemergian Allahyarham Ustaz Asri.

“Sehari sebelum arwah Ustaz Asri meninggal, beliau menelefon saya dan minta ciptakan lagu sedap-sedap. Arwah mahu lagu itu disiapkan, keesokan hari.

“Saya bersetuju dan arwah janji hubungi saya pada jam 10 pagi, esoknya.

“Pagi itu, ada yang telefon saya, tetapi bukan arwah Ustaz Asri. Sebaliknya, seorang daripada anggota Rabbani yang hubungi dan maklumkan Ustaz Asri sudah meninggal dunia.

“Sebaik mendengar berita itu, saya pengsan,” katanya yang mencipta lagu popular, Casablanca.

Kumpulan Hijjaz mendendangkan lagu popularnya, Sumayyah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kumpulan Hijjaz mendendangkan lagu popularnya, Sumayyah. – NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sementara itu, anggota kumpulan Rabbani, Azadan berkata, jasa arwah Ustaz Asri terus dikenang, biarpun sudah lebih sedekad pemergiannya.

“Apabila mereka ini banyak meninggalkan kebaikan kepada kita, nama mereka masih disebut-sebut.

“Hingga hari ini pun, ke mana sahaja kami pergi, orang masih bertanyakan mengenai arwah,” katanya sebelum menyambung persembahan dengan menyampaikan lagu berjudul Husnul Khatimah.

Selain Rabbani dan Daqmie, konsert dua jam itu turut menampilkan apa yang digelar ‘The Original Gangster’ dalam industri nasyid iaitu kumpulan Hijjaz, Inteam dan Mestica.

Pada malam itu, semua kumpulan nasyid mendendangkan himpunan lagu ikonik dan popular mereka antaranya Kasih Kekasih, Fatamorgana, Sunayyah, Layar Keinsafan, Destinasi Cinta, Setanggi Cinta 2020, Tangisan Sebatang Tamar dan banyak lagi.

Konsert 5 Rukun menampilkan persembahan secara solo, duet serta nyanyian beramai-ramai serta Qasidah serta selawat.

Dibawakan khas oleh MAC Training Centre Sdn Bhd, semua persembahan artis diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Yazit Zakaria.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *