Kuala Lumpur: Pelakon, Norman Hakim, 47, mengambil iktibar daripada situasi membabitkan anaknya, Marissa Dania Hakim, 18, yang mengheret namanya dan keluarga berdepan kecaman netizen. 

Norman yang ‘dilempar’ dengan komen-komen penuh kebencian di media sosial sejak beberapa hari lalu menganggap komen-komen netizen itu sebagai teguran buatnya sekeluarga. 

“Terima kasih kepada yang ambil berat atas ‘ujian’ buat keluarga saya baru-baru ini. Insya-Allah, ‘gerak hati’ dari-Nya untuk kami selesaikan secara tertutup. Kami ambil iktibar atas khilaf yang berlaku. 

“Mohon doakan yang baik-baik. 75,000 ‘leads’ atau pengikut baharu yang hadir dua ke tiga hari ini, saya anggap kalian semua sebagai sahabat ukhwah dan silaturahim yang harus saya sambut sebagai tetamu dengan penuh berhemah. 

“Saya gembira membaca komen semua. Komen yang mungkin berbaur emosi dan kebencian, saya anggap itu semua sebagai teguran baik dari kalian untuk saya dan keluarga perbaiki kelemahan dan khilaf kami,” tulisnya. 

Norman berkata, setiap yang bersalah masih berpeluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah. 

“Ampun maaf kalau ada khilaf, salah dan silap dari saya sekeluarga.

“Segala kelemahan datang dari kami dan segala yang baik hanya dari-Nya. Lillahita’ala saya sayang semua. Mohon jangan terputus silaturahim kita,” tulisnya. 

Dalam hantaran sama, suami kepada Memey Suhaiza itu turut berkongsi keadaan terkini anak-anaknya yang dijangkiti Influenza A sejak minggu lalu. 

“Alhamdulillah, syukur. Salah satu nikmat paling besar bila dikurniakan balik nikmat sihat. Minggu lepas, satu keluarga dijangkiti  Influenza A bermula dengan diri saya lepas selesai satu program. Kemudian, jangkit ke mummy (Memey), kemudian Awish dan Kikim, dan akhir sekali Kayla.

“Kayla saja paling lama demam, hampir lima hari tak kebah, kena tahan di hospital utk masukkan antibiotik kerana dia mmg tak pandai makan ubat. Syukur sangat, hari ini dah dapat dengar balik keceriaan dan gelak ketawa dia.

“Terima kasih yang datang melawat, hantar hadiah, hantar ucapan ingatan dan doa yang baik-baik. Semoga Allah sahaja yang mampu membalas segala kebaikan. Anda tahu siapa anda semua,” tulisnya. 

Kemelut kontroversi melanda nama Marissa serta keluarganya selepas menjadi sebutan berikutan kontroversi mengganggu rumah tangga satu pasangan muda sehingga berlaku perceraian, baru-baru ini.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *