IZARA Aishah memaklumkan dia kini sarat hamil dan dijangka melahirkan cahaya mata kedua bulan depan.
Izara, 30, berkata, dia tidak niat untuk menyembunyikan kehamilannya itu daripada umum.
“Insya-Allah saya bakal bersalin hujung bulan ini atau awal bulan depan. Saya tiada niat merahsiakan kehamilan ini,” katanya.
Menurut Izara, dia hanya mengetahui berbadan dua selepas kehamilanmencecah empat bulan.
“Saya dapat tahu hamil bila usia kandungan cecah empat bulan. Tiba-tiba ‘mood’ rasa lain macam. Bila buat pemeriksaan hasilnya positif dan tentu suami dan anak antara paling teruja.
“Pada fasa ini, saya akui pergerakan terbatas. Malah, sukar tidur. Cuma syukur di awal trimester kehamilan saya tidak alami apa-apa alahan serius,” katanya.
Ditanya mengenai jantina anak, pelakon filem J Revolusi itu menyerahkan kepada rezeki yang sudah ditakdirkan.
“Anak lelaki atau perempuan saya dan suami tak kisah pun. Cuma kalau dapat anak lelaki, kiranya kami sudah ada sepasang cahaya mata.
“Tapi Adib kalau boleh dia idam anak perempuan. Saya pula tak kisah, asalkan anak yang dilahirkan nanti sempurna dan sihat,” katanya.
Izara dan Adib Khalid mendirikan rumah tangga pada 17 November 2017 dan finalis Dewi Remaja 2009/2010 itu kini memiliki seorang cahaya mata perempuan, Irisa Alaia yang kini berusia tiga tahun.
Kredit: Harian Metro