Kuala Lumpur: “Kalau nak cakap duit saya sudah mencukupi tak tahu bila nak cukup tapi saya cuba kumpul sedikit demi sedikit,” kata pelawak dan pelakon Ebby Yus yang dikatakan menghadapi kesulitan hidup susulan keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan ketika ini.

Ebby, 58, atau milik nama Muhammad Yunus Abdul Rashid ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun menjelaskan, setakat ini dia masih dapat meneruskan kehidupan dengan baik walaupun kudratnya sudah tidak sekuat dulu.

“Setakat hari ini semuanya baik-baik saja tapi tak tahu pada masa akan datang. Mudah-mudahan saya diberikan kesihatan yang baik.

“Saya tak berani nak cakap lebih sebab kekangan-kekangan (masalah kewangan) itu ada tapi Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.

“Jujurnya kalau nak sebut fasal komitmen bulanan memang banyak tapi saya akan cuba perlahan-lahan dan menerima tawaran yang bersesuaian dengan tahap kesihatan saya sekarang.

“Alhamdulillah tawaran kerja ada cuma kemampuan saya agak terhad terutama membabitkan kawasan ‘outdoor’ kerana saya menghadapi masalah silau hingga boleh menyebabkan masalah pening dan pitam, lebih-lebih lagi jika cuaca panas tapi untuk kerja di studio tiada masalah,” katanya.

Menurut Ebby, walaupun kesihatannya menunjukkan perubahan positif, namun doktor ada menasihatkannya untuk menjalani prosedur pemasangan bateri pada jantung.

“Kalau nak dibandingkan dengan sebelum ini, Alhamdulillah sekarang lebih nampak perubahannya selepas mendapatkan pelbagai rawatan.

“Tapi kalau mengikut doktor mengenai masalah jantung saya ini, dia menasihatkan untuk memasang bateri sebab berada dalam keadaan lemah. Kemudian mata pun perlu menjalani pembedahan dan masalah buah pinggang pun kalau tidak dijaga akan mendatangkan risiko.

“Apapun saya berterima kasih kepada pihak yang sentiasa mengambil berat dan mendoakan kesihatan saya. Jangan risau mengenai saya, mudah-mudahan semuanya okey,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *