KUALA LUMPUR: Hael Husaini mahu merealisasikan projek album sulung tahun depan, selepas tujuh tahun membina karier sebagai penyanyi solo.

Hael, 36, mengaku mengambil masa panjang untuk menghasilkan album sulung bagi menjadikan produk itu istimewa dan bukan ‘tangkap muat’.

“Saya sudah ada lebih 20 lagu tetapi tidak pernah hasilkan album. Insya-Allah, saya akan tampil dengan album solo pertama, tahun depan.

“Mungkin sebelum ini saya tiada persediaan cukup. Album yang bakal dirakam berbeza daripada produk yang pernah saya hasilkan.

“Sepuluh lagu dalam album berkenaan adalah dendangan baharu. Disebabkan itulah, saya namakan album berkenaan, Antonim… Paparan sisi berbeza dari saya,” katanya kepada BH Online.

Hael berkata, projek Antonim menyaksikan dirinya bekerjasama dengan komposer hebat. Dia juga mahu melancarkan siri jelajah bagi mempromosikan album berkenaan.

“Saya banyak belajar daripada penyanyi ‘senior’ dan berpengalaman di mana mereka menjadikan album diterbitkan sebagai penanda aras dan wadah dalam mengekalkan kredibiliti sebagai penyanyi,” katanya.

Bertanya sama ada dirinya terbuka menerima maklum balas peminat dengan perbezaan yang bakal ditonjolkan dalam album itu, Hael terbuka dengan komen yang mampu mendewasakan dirinya sebagai artis.

Hael mengaku mengambil masa panjang untuk menghasilkan album sulung bagi menjadikan produk itu istimewa dan bukan ‘tangkap muat’. Foto IG Hael Husaini
Hael mengaku mengambil masa panjang untuk menghasilkan album sulung bagi menjadikan produk itu istimewa dan bukan ‘tangkap muat’. Foto IG Hael Husaini

“Sebagai artis, kita kena ambil risiko. Saya mahu mengajar peminat untuk kenali diri ini sebagai artis yang suka hasilkan sesuatu yang baharu dan berbeza,” katanya ditemui di acara Kuih Potluck Manis Pahit Bersama anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar, hari ini.

Kuih Potluck Manis Pahit dianjurkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023. Kempen ini menampilkan kuih-muih Malaysia yang secara simbolik membangkitkan kemanisan dalam kehidupan rakyat.

Hael berkata, 2024 menjadi tahun bagi dirinya menghasilkan karya terbaik termasuk kolaborasi dengan artis legenda.

“Tahun depan saya akan ‘all out’. Jadi, kepada artis yang hendak bekerjasama dengan saya, silakan. Lagu terakhir yang saya cipta untuk penyanyi lain adalah Peluang Kedua dendangan Nabila Razali, kira-kira tiga tahun lalu.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *