SM Entertaintment menafikan dakwaan anggota EXO iaitu Baekhyun yang mengatakan mereka sudah dimaklumkan dia melancarkan agensi sendiri.
Pada 8 Ogos, Baekhyun mengadakan siaran langsung di Instagram apabila dia menjawab berhubung pelbagai khabar angin mengenainya yang tersebar.
Selepas menjelaskan isu kontrak eksklusifnya bersama SM Entertainment sudah selesai, dia berkongsi dirinya akan membuka syarikat sendiri bersama rakannya, Kasper.
Menjelas lanjut, syarikat yang dinamakan One Signature buat masa sekarang itu bakal dilancarkan akhirnya di bawah nama berbeza. Katanya, SM Entertaintment sangat positif menyokong kembara baharunya itu.
“SM juga bersetuju dan menunjukkan sokongan positif untuk syarikat sendiri saya itu. Saya bukan cakap ikut sendiri saja tanpa berunding dengan yang lain dulu,” katanya.
Bagaimanapun, SM Entertaintment tampil dengan kenyataan balas menjelaskan mereka tidak tahu-menahu Baekhyun ada syarikat baharu. Mereka cuma tahu mengenainya daripada berita tersebar.
“Syarikat kami tidak pernah dengar mengenainya sebelum ini. Kami cuma dengar daripada berita. Walaupun kami terkebil-kebil, kami percaya Baekhyun akan pegang janji dalam persetujuan bersama kami,” katanya.
Walaupun Baekhyun memaklumkan dia tidak menghasilkan album buat masa sekarang, SM Entertaintment mendakwa mereka sedang persiapkan Baekhyun untuk lancarkan album solo sebelum hujung tahun ini.
Kredit: Harian Metro