Kuala Lumpur: Filem Walid arahan Areel Abu Bakar yang memasuki pawagam pada 14 September dipilih untuk ditayangkan secara perdana di New York dan Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hujung bulan ini dan awal Ogos.

Pelakon utamanya, Megat Sharizal Yusoff, 44, berkata, filem itu terpilih kerana keunikannya menampilkan budaya silat selain isu kritikal menjadi fokus utamanya.

“Pihak di sana yang mahu Walid ditayangkan kerana filem pertama Areel iaitu Geran sebelum ini pun pernah menang anugerah di sana. Mereka yang menghubungi produksi Areel sebab Geran mendapat tempat di AS.

“Filem itu agak popular dalam satu saluran khusus mengenai seni pertahanan diri. Mereka suka filem mengenai silat. Dari situlah mereka minta Areel sejak awal tahun lagi sedutan filem itu.

“Apa yang menarik, Walid mengetengahkan isu pemerdagangan kanak-kanak. Di sebalik isu itu, sebagai filem ia menjual aksi dan 100 peratus yang berlakon ada asas silat,” katanya.

Megat yang menjayakan watak Walid mengakui ia adalah pencapaian cukup bermakna buatnya secara peribadi sepanjang bergelar anak seni.

Dia juga berharap filem terbabit bakal membuka mata Hollywood mengenai kekayaan budaya silat dari Malaysia khususnya untuk diperkenal di mata dunia.

“Saya sudah hampir 20 tahun dalam industri sebagai pelakon dan pengarah. Tapi inilah pertama kali pegang watak utama. Saya memang teruja kerana saya perasan orang-orang luar memang sangat suka dengan budaya seni seperti silat.

“Mereka nak tengok budaya-budaya luar. Harapnya kita boleh bawa ke depan lagi kerana Indonesia juga sudah pergi jauh. Semoga mereka buka mata lagi dari sebelah kita pula,” katanya.

Tayangan Walid di AS itu akan dibuat di Cinema Village, New York pada 28 Julai hingga 3 Ogos. Selain itu di Laemmle Glendale, Los Angeles pada 11 hingga 17 Ogos

Terdahulu, filem Geran pernah meraih Anugerah Daniel A Craft atas kecemerlangan dalam filem aksi di Festival Filem Asia New York (NYAFF) ke-19 pada 2021.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *