Kuala Lumpur: “Tak mengapa. Masing-masing ada pengikut sendiri. Saya alu-alukan perkara ini. Ia satu persaingan yang sihat dan bagus untuk industri.
“Kami tak rasa tergugat kerana ini menunjukkan industri muzik kita semakin bernyawa. Pada saya hak masing-masing untuk buat konsert. Saya doakan yang terbaik buat semuanya.”
Demikian kenyataan pemain gitar, Jo Branko mengenai persaingan membabitkan konsert rock yang semakin bercambah termasuk dari bekas kumpulan yang pernah disertainya Wings.
Joe menerusi gabungan dengan Muss yang dinamakan Barbarik bersama Search akan bergabung dalam Konsert Double Trouble 2 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Ogos depan.
Manakala Wings dan Search yang diterajui Datuk Amy akan berkongsi pentas dalam festival Nusafest yang akan berlangsung pada malam ini dan esok di Bandar Malaysia, di sini.
Jo berkata, konsert mereka diadakan atas permintaan penganjur, Alpha Nation susulan kejayaan Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, pada Jun dan Konsert Barbarik Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur, Disember tahun lalu.
“Permintaan tinggi peminat terhadap konsert rock adalah petanda positif dalam industri muzik. Apabila ada banyak konsert rock seperti ini, ia bagus untuk industri muzik.
“Perkembangan yang sangat sihat ini beri cabaran untuk kami beri persembahan terbaik. Tapi, kami tidak janji bulan dan bintang. Namun, jika berjaya, saya percaya akan ada lagi konsert kami selepas ini.
“Konsert Double Trouble 2 tampil berbeza daripada edisi pertama. Saya dan Muss adalah pecahan daripada konsert pertama,” katanya ditemui pada sidang media yang berlangsung di sebuah kompleks membeli-belah baru-baru ini.
Menurutnya, mereka memilih menampilkan lagu terbaik dan sesuai dengan konsert terbabit serta menitik beratkan segala segi merangkumi aspek produksi dan pengendalian konsert.
“Kami mahu peminat seronok dan kami juga mahu hayati detik itu. Ia menampilkan pemuzik berbakat generasi baharu seperti Denden dan Minn dari Search serta Ainol, Adi dan Rozaimie dari Barbarik.
“Saya, Muss serta Kid dan Din daripada Search, kami sudah tidak perlu buktikan apa-apa. Jadi, kami beri peluang kepada pemuzik muda seperti Ainol dan Minn untuk membawa emosi pada konsert ini nanti.
“Mereka perlu buktikan kepada penonton bahawa mereka sesuai dengan kumpulan kami,” katanya.
Menurutnya, mereka bertuah mempunyai peminat setia yang tertarik dengan skil muzik dipamerkan selama ini.
Kredit: Harian Metro