KUALA LUMPUR: Bukan mudah menterjemahkan kisah sejarah, adat dan budaya kaum Melanau di Sarawak ke layar filem.

Lebih mencabar apabila mengetengahkan kisah misteri yang jarang diketahui masyarakat luar mengenai adat budaya dan ritual kaum Melanau pada abad ke-16, iaitu Jerunei yang wujud di Sarawak.

Dua rakan kongsi menerusi syarikat Produksi Seni 2020, Datuk Nancie Foo dan Datin Wendy Wong berdepan pelbagai cabaran ketika menyiapkan filem bergenre seram, Sumpahan Jerunei arahan Jason Chong.

Wendy berkata, bukan hanya membabitkan penghasilan skrip selama tempoh setahun, malah terpaksa merombak skrip filem sebanyak 12 kali bersama pengarah.

“Kami mengambil tempoh selama enam tahun untuk menyiapkan filem ini sepenuhnya. Ia termasuklah kajian mendalam mengenai budaya dan sejarah Jerunei selama dua tahun.

“Mujurlah kami mendapat kerjasama dari Majlis Adat Istiadat Sarawak, Muzium Sarawak, Persatuan Melanau Kuching dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak.

“Ketika mula membuat kajian mengenai Jerunei di Mukah, kami seperti tidak dialu-alukan. Saya dan Nancie takut dan bulu roma juga meremang seperti ada yang mengikut dan memerhatikan kami.

“Namun, keadaan berbeza selepas memutuskan untuk mengangkat naskhah ini ke layar filem,” katanya kepada BH Online.

Kali terakhir, Produksi Seni 2020 menerbitkan filem menerusi Red Haired Tumbler Di Malaya pada 1994.

Karya arahan Eddie Pak itu pernah menerima Anugerah Khas Juri, Festival Filem Malaysia Ke-12 pada 1995, selain menembusi pencalonan New York Asian Film Festival.

Selepas hampir 30 tahun, Nancie dan Wendy tampil dengan filem Sumpahan Jerunei, sekali gus ‘comeback’ dalam bidang perfileman.

Wendy, Nancie dan barisan pelakon menyambut kehadiran tetamu kenamaan ketika menjalani penggambaran.
Wendy, Nancie dan barisan pelakon menyambut kehadiran tetamu kenamaan ketika menjalani penggambaran.

Wendy berkata, dia dan Nancie mahu menghasilkan filem berkualiti dan tidak malu untuk dibawa ke peringkat antarabangsa sebelum bersara dari industri perfileman.

“Jadi, kami sedar untuk menghasilkan filem berkualiti akan membabitkan bajet besar, apatah lagi karya yang boleh dibawa ke pasaran antarabangsa, tetapi sanggup mengambil risiko.

“Ini kerana kami mahu menghasilkan karya yang dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi tarikan pelancong asing.

“Kami bersyukur atas bantuan dan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sarawak. Tanpa sokongan, kami tidak mampu menghasilkan filem bermutu dan berkualiti,” katanya selaku pencetus idea asal filem.

Wendy berkata, berdasarkan adat dan kepercayaan kaum, bila ada orang kaya atau golongan bangsawan yang mahu meninggal dunia kena ada dua hamba lelaki dan wanita yang masih dara dipilih si mati untuk dikorbankan sekali dalam ritual itu.

“Hamba lelaki yang dipilih si mati itu akan dimasukkan ke dalam lubang, manakala hamba wanita pula akan digantung di tiang Jerunei sehingga tidak bernyawa.

“Bagaimanapun, ritual upacara ini dimansuhkan pada abad ke-18 ketika Charles Brooke menjajah Sarawak.

“Kami memilih kaum bangsawan Melanau untuk diangkat dalam cerita Sumpahan Jerunei kerana keturunan mereka, iaitu Tommy Black masih ada di Mukah.

“Tommy memiliki Muzium Sapan Puloh di Mukah dan menyimpan barangan berkaitan Jerunei seperti props, pakaian dan artifak daripada nenek moyang.

“Kami menghargai sokongan Tommy Black yang sudi menjadi konsultan bagi babak ritual upacara bangsawan kaum Melanau,” katanya.

Pengarah Jason Chong bersama pelakon dan kru ketika menjalani penggambaran filem Sumpahan Jerunei.
Pengarah Jason Chong bersama pelakon dan kru ketika menjalani penggambaran filem Sumpahan Jerunei.

Mengulas pembikinan filem itu, kata Wendy, ia membabitkan kos mencecah RM5 juta.

“Kos pembikinan filem sangat tinggi kerana membabitkan banyak penggunaan elemen kesan khas, VFX dan teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) ketika penggambaran menggunakan skrin biru.

“Kami terpaksa mengeluarkan kos lebih RM100,000 untuk membawa peralatan teknikal dan reka bentuk yang besar dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Kuching.

“Selain itu, filem ini membabitkan lebih 100 tenaga kerja membabitkan barisan pelakon, kru dan pelakon tambahan daripada rakyat tempatan yang boleh berbahasa Melanau.

“Penggambaran filem mengambil tempoh selama 45 hari dan lokasi sepenuhnya di Kuching, Siburan dan Mukah.

“Ia dilakukan sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun selepas dua tahun, barulah kami menyiapkan proses suntingan filem,” ujarnya.

Ditanya tarikan filem Sumpahan Jerunei, kata Wendy, ia bukan sekadar cerita seram fiksyen, tetapi ada mesej mengenai adat budaya unik kaum Melanau yang mahu diketengahkan untuk tontonan, selain bagaimana adat budaya diilhamkan dalam filem.

Katanya, filem ini mengupas rahsia dan misteri di sebalik sejarah dan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau.

“Jerunei adalah lambang bersejarah bagi masyarakat Melanau. Ia dijadikan tempat persemadian golongan bangsawan suatu ketika dahulu.

“Ia juga sejenis keranda atau tempat persemadian diperbuat daripada kayu yang tahan ratusan tahun bagi menempatkan hamba atau orang yang dipilih si mati ketika hidupnya.

“Selain itu, filem ini juga memaparkan budaya, pakaian dan makanan orang Melanau yang penuh dengan keunikan.

“Dari segi mesejnya, jika barang bukan milik anda, jangan ganggu,” katanya.

Sumpahan Jerunei menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Uqasha Senrose, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Daiyan Trisha, Tony Eusoff, Ruminah Sidek, Yuyun Hikmah dan ramai lagi.

Ia akan mula menjengah pawagam seluruh tanah air pada 27 Julai depan.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *