Kuala Lumpur: Kumpulan rock May yang kini dianggotai oleh Abu (gitar) dan Yus (bass) memperkenalkan pemuda berketurunan peranakan Baba Nyona dari Melaka iaitu Kelvin Thein, 29, sebagai penyanyi baharu kumpulan itu.
Kelvin yang mengisi kekosongan ditinggalkan bekas penyanyi mereka, Muss, ditampilkan kepada media buat pertama kalinya pada sidang media Konsert Lagenda Rock Vol 1 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, kelmarin.ADVERTISING
Yus berkata, pemilihan Kelvin disebabkan bakatnya yang luar biasa serta kemampuannya untuk mencipta keserasian bersama anggota May.
“Dia diperkenalkan kepada kami oleh seorang artis legenda rock yang dikenali ramai. Anda akan tahu siapa orangnya nanti. Banyak orang tanya kenapa pilih penyanyi bukan Melayu? Pada saya itu bukan persoalannya. Apa yang penting, dia boleh menyanyi, komited dan ada karisma dan mempunyai karakter. Dia juga boleh membawa lagu-lagu May mengikut kemampuannya serta dengan cara tersendiri,” katanya.
Selain May, konsert anjuran Mutiara Optimum Sdn Bhd itu akan turut dijayakan oleh kumpulan rock era 1980-an dan 1990-an iaitu XPDC, Rusty Blade dan Babylon.
Menurut Yus atau nama sebenarnya Mohd Mohtar Mohd Madin, pemilihan Kelvin dibuat sejak enam bulan lalu dan bukan kerana mereka bakal menjayakan konsert mega ini.
“Cuma kami tak mahu menghebahkan berita itu lebih awal. Kami memang nak rahsiakan dulu perkara ini. Kalau boleh biarlah Kelvin sudah benar-benar bersedia, selain perancangan untuk merakamkan single dan juga mengadakan konsert besar
“Kami ditawarkan untuk terbabit dalam konsert ini. Jadi sekarang adalah masa yang tepat untuk mengumumkan berita ini kepada semua peminat May,” katanya.
Terdahulu, kemelut dalam May yang berasal dari Ipoh bermula apabila Muss mengundur diri pada 2020 atas alasan masalah kesihatan.
Manakala peman dram, Man menyusul setahun selepas ituvselepas 35 tahun bersama May. Tempatnya kini digantikanvYumizar Mohd Yussof atau Wak Yus sebagai pemain drum tetap May.
Sementara itu, Kelvin mengakui pendedahan terhadap muzik rock terutama lagu kumpulan May ketika dia masih kanak-kanak menyebabkan dia berminat untuk menyertai kumpulan itu.
“Bapa saya juga mempunyai latar belakang dalam bidang muzik. Biasanya bapa akan putarkan lagu rock ketika memandu dan dari situ saya mula mengenali lagu May seperti Sendiri.
“Saya menghormati semua anggota May kerana mereka sangat baik. Saya harap saya dapat membuat persembahan terbaik pada konsert itu nanti,” katanya yang juga bekas pelajar jurusan muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) ini.
Walaupun terdapat jurang dari segi usia, namun menurut Kelvin, perkara itu bukanlah satu halangan untuk dia mencipta keserasian bersama band otai itu.
“Sejak dari mula sesi uji bakat lagi, saya sudah rasa selesa dengan mereka sekali gus menjadikan sesi itu berjalan dengan lancar.
“Sekarang ini sudah 50 peratus lagu May saya sudah hafal,” katanya yang turut mendapat sokongan padu daripada keluarga berhubung minatnya itu.
Konsert Lagenda Rock Vol 1 akan berlangsung di Megastar Arena Sungai Wang Plaza, Kuala Lumpur pada 16 Julai depan.
Kredit: Harian Metro