SEMPAT menyapa peminat menerusi konsert sempena 25 tahun keberadaannya dalam industri muzik di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada November tahun lalu, ternyata kemunculan sulungnya pasca pandemik Covid-19 itu belum memadai untuk mengubat sepenuhnya kerinduan Datuk Seri Rossa.

Bagi pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu, masih ada yang terbuku dan tidak sempat diluahkan, meskipun konsert itu terus memahat kukuh namanya sebagai antara penghibur Indonesia yang disegani.

Justeru, bagi melunaskan segala yang terbuku di sudut hatinya, Rossa tekad kembali menerusi konsert Another Journey: The Beginning bakal berlangsung di ibu negara pada Julai ini.

Kemunculannya itu sentiasa dinanti peminat setianya yang digelar Pecinta Rossa apabila semua tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam masa 24 jam.

Akur dengan permintaan ramai, penganjur mengambil pendekatan untuk tidak menghampakan peminat diva tersohor Indonesia itu dengan menambah satu lagi malam konsert iaitu pada 13 Julai depan.

“Banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam persembahan, termasuk kekosongan lokasi, penyanyi undangan, pemuzik dan pasukan produksi.

“Kami bersyukur kerana impian itu dapat direalisasikan pada 13 Julai depan, sekali gus memberi ruang kepada peminat Rossa untuk bersama-sama berhibur,” kata Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri.ADVERTISING

Konsert Another Journey: The Beginning adalah siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration, selepas meraih sukses luar biasa menerusi konsert pertama menampilkan Nidji dan Budi Doremi, disusuli Wali Band bersama Floor 88 dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 2.

Mengulas mengenai sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning ITU, Rossa, 44, meluahkan perasaan terharu kerana kemunculannya terus dinanti ramai.

ROSSA mahu ubat kerinduan peminat.
ROSSA mahu ubat kerinduan peminat.

Disebabkan enggan menghampakan harapan peminat, dia bersedia untuk beraksi satu malam lagi sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sokongan luar biasa yang diberikan itu.

Konsert Another Journey: The Beginning kata Rossa, sedikit istimewa kerana tidak hanya membawa peminat menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya, malah turut memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang menggunakan judul sama yang dilancarkan pada Februari lalu.

“Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan pandemik Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke Konsert Another Journey: The Beginning pada 13 dan 14 Julai nanti,” katanya.

Tidak bersendirian, konsert itu menyaksikan Rossa bakal bergandingan dengan penyanyi muda, Rizky Febian pada 13 Julai dan Mahalini Raharja (14 Julai), selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.

Mahilini yang sedang popular dengan lagu Sial turut memberikan sentuhannya menerusi lagu Lupakan Cinta yang dimuatkan dalam album Another Journey: The Beginning.

“Untuk kali pertama sepanjang 25 tahun berkarier, saya mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan album ini.

“Ternyata, mereka sangat hebat dan Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang bakatnya sangat luar biasa. Lebih bermakna apabila Mahalini bersedia untuk menjadi sebahagian daripada konsert itu nanti.

“Kemunculan Mahalini, Rizky dan Zareef membuktikan industri muzik tidak ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia. Pastinya akan ada kejutan daripada kami nanti,” katanya.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *