KUALA LUMPUR: Meskipun ikatan suami isteri sudah lebih 20 tahun terlerai, namun penerbit terkenal, Datuk A Aida dan bekas suaminya yang juga penyanyi Ameng Spring tidak pernah bermusuhan demi anak.
Apapun yang berlaku pada masa silam tidak sekelumit tersimpan dalam hati dan jadi dendam, sebaliknya kehadiran Ameng dan keluarganya pada majlis pertunangan anak sulung, Wan Az Aleesa Wan Aminuddin, 27, dengan juruterbang, Zain Azrai Abdul Aziz, 27, di pusat peranginan, D’Manggis, Janda Baik, Bentong, Sabtu lalu membuktikan silaturahim antara mereka tetap terpelihara.
A Aida berkata, dia tidak pernah bermusuh dengan semua bekas suami, termasuklah Ameng.
“Saya minta Aleesa mengajak Ameng hadir pada majlis pertunangannya
“Jujurnya, saya dan Ameng tetap menjadi kawan walaupun kami sudah lama berpisah.
“Kami pernah hidup bersama, jadi kenapa pula tidak boleh jadi kawan dan bermusuh selepas bercerai? Lagipun, kami ada dua cahaya mata bersama.
“Sebelum ini, kami selalu bertegur sapa dan bertanya khabar jika berjumpa, tiada apa-apa masalah antara kami.
“Bagi saya, Ameng tetap bapa kepada Aleesa dan Wan Azevanatassha. Saya mahu Ameng menjadi wali anak-anaknya,” katanya kepada BH Online.
Pemilik nama Zaidah Awang itu berkata, dia gembira Ameng dan ahli keluarga dapat berkumpul serta hadir memeriahkan majlis pertunangan Aleesa.
“Sudah tentu detik ini bermakna buat saya. Dapat berkumpul sebagai satu keluarga dan menyaksikan anak pertama akan dilepaskan kepada bakal suaminya tidak lama lagi.
“Tidak dinafikan, saya sebak dan mengalirkan air mata. Bukan tidak gembira melihat kebahagiaan anak, tetapi saya berat nak melepaskan Aleesa.
“Jujurnya, saya tak nak melepaskan Aleesa berkahwin lagi. Impian saya mahu melihat Aleesa menyambung pengajian dan menjadi doktor haiwan.
“Namun, bakal menantu mahu mempercepatkan perkahwinan sebelum Aleesa menyambung pengajian di sebuah universiti di Bogor, Jogjakarta Indonesia dalam jurusan veterinar selama empat tahun, tahun depan.
“Seminggu juga saya duduk termenung memikirkannya,” katanya sebak.

Tambah A Aida, dia meletakkan syarat kepada Aleesa dan Zain apabila memilih berkahwin lebih awal.
“Saya mahu Aleesa berjanji tidak mempunyai anak sebelum menghabiskan pengajian. Itu syarat saya kepada Aleesa sebelum berkahwin 15 Julai depan.
“Bukannya sedikit wang digunakan untuk melanjutkan pengajian di Jogjakarta selama empat tahun. Besar harapan saya melihat Aleesa menghabiskan pengajian, kemudiannya bergelar doktor haiwan.
“Ada rezeki saya mahu membuka klinik haiwan untuk Aleesa. Jadi, sudah tentu saya mahu Aleesa menghabiskan pengajian terlebih dahulu.
“Selalunya saya lihat, bila berkahwin, ada anak dan pengajian separuh jalan. Saya tidak mahu Aleesa keciciran dalam pengajian memandangkan duit sudah banyak keluar,” katanya.
A Aida berkata, dia mulai faham kenapa rakan-rakannya menangis ketika mahu melepaskan anak berkahwin.
“Dahulu saya selalu mempersoalkan kenapa rakan menangis bila anak berkahwin. Sekarang barulah saya rasai dan faham.
“Aleesa baru bertunang, belum lagi berkahwin pun saya tak tahan sedih.
“Tidak mudah sebenarnya melepaskan anak, apatah lagi, Aleesa pula anak sulung. Saya menjaga Aleesa sejak kecil, sentiasa ada depan mata.
“Berpisah dengan anak menjadi beban kesedihan berlarutan kepada saya.
“Jujurnya, saya tidak mampu melelapkan mata setiap malam mengenangkannya,” ujarnya.

Katanya, dia mahu bersama anak-anaknya bersamanya selama yang boleh.
“Sebab itulah, Aleesya dan anak-anak lain tak pernah berpisah dengan saya. Kami tetap tinggal sebumbung walaupun menyambung pengajian.
“Aleesya adalah pelajar cemerlang di sekolah dan banyak menerima tawaran melanjutkan pengajian, tetapi saya tidak izinkan.
“Saya mahu anak-anak menghabiskan persekolahan tingkatan 5 berdekatan dengan rumah. Kalau boleh melanjutkan pengajian di kolej dan universiti pun sekitar Lembah Kelang sahaja,” katanya.
Namun, katanya, sebagai ibu bapa, kena reda. Anak-anak akan pergi meninggalkan rumah juga suatu hari nanti.
“Rakan-rakan selalu pesan, anak akan meninggalkan kita. Jadi, inilah saat saya kena bersedia hadapi anak tiada depan mata.
“Tidak mengapa, saya faham setiap orang akan memulakan fasa baharu, begitu juga Aleesa
“Saya hanya berharap Allah memberikan kekuatan kepada saya,” katanya yang tidak tidur tiga malam membuat persiapan majlis pertunangan Aleesa.
Kredit: Berita Harian