Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah di sisi pusara Benjy.

Kuala Lumpur: Hasrat Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menziarah pusara pelakon, Allahyarham Benjy di Medan, Indonesia termakbul selepas lebih dua tahun menanti.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, lawatan itu dibuat pada 11 Mei lalu dan dia sangat tersentuh melihat pusara Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim terjaga rapi.

“Setibanya di situ, perasaan sebak. Secara tidak langsung, kenangan bertemunya sebanyak dua kali di penjara bermain dalam fikiran.

“Saya terkejut melihat kubur arwah dijaga rapi. Saya dimaklumkan ada insan berhati mulia yang menyumbang untuk meletak batu nisan di kuburnya,” katanya.

Menurut Hafiz, Seniman sudah lama ingin ke sana namun akur terhadap halangan tertentu termasuk sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 lalu.

“Saya sendiri memang berniat untuk menziarah kubur Benjy selepas pemergiannya, tapi terpaksa pendam dulu sebab arwah pergi dalam tempoh pandemik,” katanya.

Pada kunjungan itu, Hafiz turut bersyukur mendapat bantuan daripada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang memudahkan urusan Seniman.

Benjy meninggal dunia pada usia 43 tahun akibat asma di Hospital Royal Prima, Medan, Indonesia, pada 11 Julai 2021.

Ketika itu, Allahyarham sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun tiga bulan atas kesalahan memiliki dadah di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

Pada April 2017, Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Pemenang Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu didapati bersalah memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram.

kreadit : hmetro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *