KUALA LUMPUR: Mencecah usia 37 tahun, pelakon dan usahawan, Zara Zya mengaku hati mudah tersentuh terutama tatkala diaju pertanyaan berkaitan kehidupan peribadi.

Zara atau nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, sebagai wanita, dia ada perasaan, malah, ada ketika, hati mudah terguris.

Itulah yang berlaku pada sesi langsung di TikTok, baru-baru ini, apabila Zara tiba-tiba menangis.

“Baru-baru ini, saya buat ‘live’ di TikTok, kira-kira jam 10 pagi. Itu kali pertama saya menangis ketika ‘live’.

“Tidak tahulah kenapa sesetengah orang, buka mata sahaja sakiti hati orang lain. Kita selalunya bangun pagi hendak muhasabah diri. Sebaliknya, ada orang buka mata sahaja, lempar kecaman.

“Ada beberapa soalan yang mungkin sebelum ini saya beri pendekatan untuk tidak ambil berat. Tetapi, entah kenapa, sejak akhir-akhir ini, saya jadi sangat sensitif.

“Tidak boleh cuit sedikit pun. Bukanlah saya tidak boleh ditegur langsung, tetapi, ada pertanyaan yang membuatkan hati terguris.

Zara lebih selesa menjauhkan diri daripada orang ramai dan menghabiskan masa berehat di rumah. Foto IG Zara Zya
Zara lebih selesa menjauhkan diri daripada orang ramai dan menghabiskan masa berehat di rumah. Foto IG Zara Zya

“Contohnya, ada yang bertanya, saya tidak ‘laku’ lagikah? Tiada orang yang hendak berkahwin dengan sayakah? Kenapa tanya soalan macam itu?” katanya ditemui pada majlis Aidilfitri Civicas Network & Meerqeen di Mandarin Oriental di sini, baru-baru ini.

Zara mengaku seronok dengan kehidupannya sekarang.

“Namun, apabila saya dihakimi, ibarat dari atas hingga ke bawah, saya jadi trauma mahu keluar rumah,” katanya.

Sehubungan itu, Zara lebih selesa menjauhkan diri daripada orang ramai dan menghabiskan masa berehat di rumah.

Zara tidak mahu kata-kata negatif netizen memberi impak terhadap kesihatan mental. Lantas, dia memilih memencilkan diri.

“Otak saya jadi penat dengan kata-kata orang. Sehingga saya patah semangat untuk buat ‘live’ (dalam platform media sosial) dan keluar ke tempat awam.

“Sukar untuk saya jelaskan. Namun, saya ambil jalan penyelesaian tidur sebagai jalan pintas untuk melupakan masalah. Malah, saya sudah dua bulan berehat daripada berlakon.

“Mungkin selama ini orang sering lihat saya ketawa dan sebagainya. Namun, saya tidak sangka impak begini. Mungkin juga masa itu kurang sesuai.

“Ada waktu saya ketawa, saya ketawa. Saya bukan badut yang setiap hari bagi orang gembira,” katanya.

Tambah Zara, bukan saja kisah peribadinya menjadi sindiran netizen, malah, barangan yang dipakai seperti tas tangan, baju dan kasut turut diberi perhatian.

“Ada yang pertikai kenapa saya pakai tas tangan sama. Takkan tas tangan pun nak pakai buang?

“Saya tak pernah beli tas tangan lebih dari RM20,000. Walaupun tas tangan saya bernilai RM50, saya akan pakai selagi tidak rosak.

“Ramai orang fikir selebriti kena kerap tukar semuanuya. Saya hanya bersiap apabila pergi majlis sahaja. Kalau tidak, saya santai sahaja. Tidak perlulah netizen pertikai saya pakai tas tangan, baju atau kasut sama.

“Saya tidak rimas, tetapi, kita ini manusia. Ada waktu mental kita penat dan perkara sebegitu membuatkan kita terganggu. Saya pula perempuan, ada masanya, emosi tidak menentu,” katanya.

Zara berkata, tindakannya membuat ‘live’ dalam media sosial sudah menjadi keperluan sebagai usahawan bagi menggalakkan jualan produk.

“Saya berniaga atas talian, mahu atau tidak, kena buat ‘live’.

“Kalau tidak buat, macam mana hendak jual? Saya ada pekerja dan keluarga yang mencari makan. Kasihan pada mereka kalau saya tidak hiraukan semua ini,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *