PERSEMBAHAN membuatkan peminat terpaku.

TEMPOH masa satu jam menonton Konsert Syair Timur Datuk Ramli Sarip yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini seakan tidak terasa.

Sedang asyik menikmati rangkaian lagu-lagu enak dan mempunyai maksud mendalam, penghibur bergelar ‘Papa Rock’ ini memaklumkan kepada penonton yang persembahannya sudah masuk lagu terakhir.

Bagaimanapun, penonton sama sekali tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing dan ia memaksa Ramli ‘membelanja’ mereka dengan dua lagu terakhir sebelum menutup tirai persembahan.

Itulah keistimewaan penghibur berusia 70 tahun ini. Harga tiket yang boleh dikatakan agak tinggi bukan alasan buat peminat setianya hadir menonton di tempat berprestij berkenaan.

Ramli yang diiringi pemuzik pengiringnya, Soul Journey memulakan persembahan tepat jam 8.30 malam menerusi lagu pertama, Orang Tua Bersidi Sakti. Diikuti pula dengan lagu Sejuta Wajah.

Dia yang sememangnya dikenali sebagai penyanyi yang suka berceloteh, mengambil pendekatan menumpukan perhatian pada nyanyian memandangkan masa terhad.

Peminat seterusnya dibawa mengembara ke alam penuh mengasyikkan menerusi lagu Kekasihku, Syair Laila Majnun dan Joget Selangkah Rindu.

MASIH ligat diatas pentas menghiburkan peminat.
MASIH ligat diatas pentas menghiburkan peminat.

“Saya bersyukur diberi peluang hadir dengan sebuah konsert Syair Timur. Lagu-lagunya boleh dijadikan contoh atau pedoman walau tidak banyak.

“Di dalam rumah (dewan) yang indah ini, saya rasa banyak yang tahu. Jadi, saya rasa sangat bertuah kerana diiringi pendekar-pendekar (pemuzik Soul Journey),” katanya.

Justeru, lagu-lagu lain nyanyian Ramli ialah Ufuk Nurani, ‘Iqra, Cinta Di Sebalik Musim, Bukan Kerana Nama, Ronggeng Rakyat, Adam Hawa, Kamelia dan Teratai.

Manakala, ‘lagu bonus’ yang dinyanyikan pula adalah Istilah Bercinta.

Konsert istimewa ini juga diadakan bersempena meraikan 25 tahun penubuhan Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

GAYA tersendiri Ramli.
GAYA tersendiri Ramli.

Malah, ia adalah langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamatnya (DFP) untuk menghidangkan muzik pelbagai genre yang mampu menarik semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, ini adalah penampilan kali keempat Ramli di pentas DFP selepas konsert solonya pada 2010 dan menjadi penyanyi undangan untuk konsert Datuk Khadijah Ibrahim (2008) dan Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (2017).

kreadit : hmetro.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *