KUALA LUMPUR: Pembabitan pelakon terkenal, Allahyarham Ridzuan Hashim, 62, dalam industri seni tanah air jelas disenangi ramai dek keperibadian mulia dimilikinya.

Perkara itu dapat dibuktikan apabila pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, 69, memuji sikap arwah yang sentiasa memberikan kerjasama baik ketika menjayakan penggambaran, selain mempunyai disiplin dan adab yang tinggi.

Pemilik syarikat produksi, Skop Productions itu berkata, selain mengenali rapat bekas isterinya, Didie Alias, 51, arwah juga antara kenalan dihormati kerana sikapnya tidak pernah menyusahkan orang lain.

“Saya kenal arwah sejak penghujung 1980-an, di mana dia banyak berlakon drama bersiri seperti Gerak Khas, telefilem dan filem terbitan Skop Production sejak ditubuhkan pada 1985 dan kebanyakannya arahan anak saya, Syamsul.

“Arwah sangat berdisiplin dalam soal kerja dan menepati masa. Dia tidak pernah memberikan masalah.

“Misalnya, komitmen dalam filem KL Gangster cukup bagus. Saya sering melawat Syamsul ketika penggambaran, jadi saya dapati arwah selalu menepati masa.

“Disebabkan komitmennya itu, saya merancang mengambilnya berlakon dalam filem KL Gangster 3 kalau jadi, tetapi Allah lebih sayangkannya,” katanya ketika ditemui di majlis pengebumian Allahyarham Ridzuan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, Hulu Langat, malam kelmarin.

Mengimbas kerjasama terakhir Allahyarham Ridzuan bersama Skop Production, Yusof berkata, dia ada bertemu arwah ketika menjayakan drama Kuasa, tahun lalu.

“Ketika itu, arwah tidak sihat. Saya katakan pada arwah bolehkah berlakon, tetapi arwah meyakinkan saya dia okay.

“Arwah tidak pernah memeluk saya, tetapi hari itu, arwah memeluk saya dan menegaskan dirinya okay.

“Jadi, saya nampak semangat juangnya yang kuat sebagai pelakon.

“Arwah gagahkan diri juga walaupun saya nampak tidak berapa sihat dan tetap menghabiskan tugasannya,” katanya.

Yusof terkenang arwah memeluknya dan menegaskannya dirinya okay mahu terus berlakon. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Yusof terkenang arwah memeluknya dan menegaskannya dirinya okay mahu terus berlakon. – NSTP/Saifullizan Tamadi

Tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai Allahyarham Ridzuan, Yusof berkata, dia mendoakan terbaik buat arwah dan rakan seperjuangan yang sudah pergi.

Terdahulu, jenazah Ridzuan disolatkan di Masjid Al-Mustaqqin, Hulu Langat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua di kawasan sama pada jam 8.30 malam, kelmarin.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara mara, rakan artis dan kenalan memberikan penghormatan terakhir kepada anak jati Kuala Lumpur itu.

Selain Yusof, antara yang turut hadir termasuklah Datin Alyah, Edika Yusof, Fizo Omar, Norman Hakim, Ieda Moin dan Zalif Sidek.

Sementara itu, bagi Edika, 56, yang juga bekas peragawan berkata, arwah adalah sahabat baiknya ketika sama-sama membabitkan diri dalam dunia peragaan.

“Arwah adalah sahabat saya sejak 1980-an kerana kami bersama di pentas peragaan. Dia boleh dikatakan sebagai mentor kerana memasuki bidang peragawan lebih awal daripada saya.

“Dia kelakar orangnya. Dari dahulu, saya berjumpa dengan arwah hingga sekarang, tetapi orangnya tidak berubah, begitu juga sikapnya.

“Arwah banyak memberikan motivasi kepada saya untuk memberanikan diri dan banyak mengajar saya,” katanya.

Tambah Edika, kali terakhir bertemu arwah ketika menjayakan penggambaran drama bersama sekitar tahun lalu.

“Keadaan arwah okay, tetapi jujurnya arwah sakit pun saya tidak tahu sebab dia tidak pernah berkongsi. Ketika berjumpa arwah nampak sihat sahaja,” katanya.

Terdahulu, Ridzuan, 62, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi semalam.

Sebelum itu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu dipercayai rebah ketika sedang bersarapan bersama anaknya di kediaman di Bandar Tun Razak antara jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari, kelmarin akibat penyakit jantung.

Menerusi video sambutan Aidilfitri Ridzuan atau nama sebenarnya, Mohd Ridzuan Hashim bersama Didie dan keluarganya di Melaka, baru-baru ini, arwah kelihatan tidak bertenaga, malah anak sempat merakamkan bapa mereka duduk di tepi kolam renang sambil termenung.

Arwah juga dilihat tidak bermaya ketika berbual, selain sugul dan tidak bersemangat walaupun berada dalam suasana meriah, malah bekas model itu juga hanya melemparkan senyuman tawar ketika bergurau senda bersama anaknya.

Gambar kenangan arwah Ridzuan bersama Didie, anak-anak dan keluarga ketika Syawal tahun lalu.
Gambar kenangan arwah Ridzuan bersama Didie, anak-anak dan keluarga ketika Syawal tahun lalu.

Ketika bergambar bersama seluruh ahli keluarga, arwah hanya memencilkan diri dengan berdiri di tepi tangga dan kelihatan tidak bersemangat, seolah-olah memberi gambaran sedang bertarung dengan kesakitan.

Allahyarham Ridzuan memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai model iklan komersial, seterusnya mengembangkan bakat dalam dunia lakonan apabila ditawarkan membintangi dalam drama Adam & Hawa siaran TV1 pada 1986.

Dua tahun kemudian, dia diberi kepercayaan oleh pelakon dan pengarah, Datuk Rosnani Jamil membintangi filem Antara Dua Hati bersama bintang handalan, Raja Ema dan Sabree Fadzil.

Popularitinya kian memuncak apabila menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-9 menerusi filem kedua, Hati Bukan Kristal.

Kemenangannya itu membawanya melangkah lebih jauh. Ridzuan juga diiktiraf antara pelakon popular pada zaman kegemilangannya.

Sebagai bukti, Ridzuan memenangi trofi Pelakon Filem Pembantu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 1988 menerusi filem Antara Dua Hati.

Sepanjang 37 tahun pembabitannya dalam dunia seni, Ridzuan membintangi berpuluh-puluh filem antaranya Pesona Cinta, Scoop, Lurah Dendam dan Ghazal Untuk Rabiah. Turut dibintangi, filem Seri Dewi Malam, KL Gangster, KL Gangster 2, Pilot Cafe dan terakhir, Daddyku Gangster, tahun lalu.

Ridzuan juga pernah terbabit dalam produksi antarabangsa iaitu filem blockbuster India, Don 2 bersama Shah Rukh Khan dan telemovie produksi Jerman, Love & Death on Java.

Ketika berada di puncak populariti, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Didie pada 1992, namun berpisah pada 2002.

Hasil perkongsian hidup bersama Didie, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nur Dhaniyah, Muhammad Dhanial, Nur Dania, Nur Diyana dan Nur Dayani.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *