KUALA LUMPUR: Selepas sebulan berpuasa, Aidilfitri diraikan dengan penuh kemeriahan sebagai tanda kemenangan.

Syawal menjadi momen cukup bermakna buat insan yang mengabdikan kenangan bersama keluarga dan saudara.

Tidak ketinggalan selebriti Indonesia yang meraikan Aidilfitri lebih awal pada Jumaat lalu.

Tampil anggun di pagi Syawal, selebriti Indonesia tidak ketinggalan berkongsi kenangan terindah dalam media sosial sebagai momen indah untuk dikongsi bersama peminat.

Penyanyi bertubuh genit, Datuk Seri Rossa berkata, dia wajib pulang ke kampung halamannya di Sumedang, Jawa Barat untuk beraya bersama ibu bapa.

Malah, Rossa sempat berkongsi foto bersama anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan bersama orang tuanya yang masih sihat.

Dalam entri yang dimuat naik dalam Instagram (IG), pelantun lagu Atas Nama Cinta itu menulis yang matanya bengkak kerana menangis ketika sesi bermaafan dengan orang tuanya.

“Saya menangis ketika sesi bermaafan, rasanya banyak salah saya mengecewakan mama papa. Semoga saya mampu menjadi insan lebih baik dan berbakti lagi,” tulisnya.

Bagi ‘diva’ yang juga penyanyi Krisdayanti, lebaran kali ini sangat dinanti-nantikan selepas dua tahun tidak dapat berkumpul dengan keluarga besarnya akibat pandemik COVID-19.

Ahmad Dhani gembira dapat meraikan Syawal bersama isteri dan anak-anaknya. - Foto IG Ahmad Dhani
Ahmad Dhani gembira dapat meraikan Syawal bersama isteri dan anak-anaknya. – Foto IG Ahmad Dhani

Selepas solat sunat Aidilfitri, Krisdayanti atau lebih mesra disapa KD, membuka pintu rumah seluas-luasnya menyambut saudara dan jiran tetangga.

“Selepas larangan pandemik, sekarang adalah masanya untuk kembali menjalinkan silaturahim bersama keluarga.

“Ramadan sungguh cepat berlalu, jadi inilah waktunya bertemu keluarga dan sanak saudara. Ramai ahli keluarga yang tidak disangka sudah menambah anak, ada juga menambah cucu,” katanya seperti dilaporkan agensi.

Dalam pada itu, suasana Aidilfitri sedikit kurang meriah tanpa kehadiran dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu iaitu Aurel dan Azriel Hermansyab dan cucu, Ameena Hanna Nur Atta kerana mengikut bekas suaminya, Anang Hermansyah pulang ke kampung halaman di Jember, Jawa Timur.

Namun, ia bukanlah satu masalah buat KD kerana sudah mengetahui sejak awal lagi.

“Mereka tahu saya akan ke luar kota selepas Aidilfitri, jadi anak-anak membuat perancangan untuk ke Jember,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Meskipun terkait dengan isu rumah tangga, namun pasangan muda, Rizky Billar bersama isterinya, Lesti Kejora tetap meraikan Syawal bersama.

Momen indah itu turut dikongsi pasangan sensasi itu di IG. Rizky dan Lesti memilih untuk tampil sedondon dengan memilih rona merah hati di pagi Syawal bersama anak mereka Muhammad Leslar Al-Fatih Billar.

“Minal aidin wal faidzin, mohon maaf lahir dan batin,” tulis Rizky dalam IG.

BCL dan anaknya, Noah tidak ketinggalan menziarahi pusara arwah Asyraf Sinclair sejak tiga tahun lalu. - Foto IG BCL
BCL dan anaknya, Noah tidak ketinggalan menziarahi pusara arwah Asyraf Sinclair sejak tiga tahun lalu. – Foto IG BCL

Bagi penyanyi cantik, Bunga Citra Lestari atau BCL, dia tidak ketinggalan menziarahi kubur arwah suami, Allahyarham Asyraf Sinclair sejak tiga tahun lalu.

Tahun ini, selepas solat sunat Aidilfitri dan menikmati juadah enak seperti rendang, ketupat dan opor ayam, BCL sempat membuat panggilan video bersama keluarga mentua di Kuala Lumpur sebelum keluar menziarahi pusara arwah.

Pelantun lagu Selamanya Cinta itu turut berkongsi dalam IG suasana kekecohan di dapur pada malam raya menyiapkan juadah untuk menyambut tetamu di pagi raya.

Deretan kek disediakannya daripada kek span hingga coklat gulung.

“Sumpah penat sangat, sakit pinggang,” tulisnya.

Turut menjadi perhatian ialah keluarga penyanyi dan pemain keyboard kumpulan Dewa, Ahmad Dhani apabila menghimpunkan anak dari perkahwinan terdahulu dan sekarang.

Setiap kali tibanya Syawal, tiga anak daripada perkahwinan bersama Maia Estianty tidak ketinggalan meraikan Syawal bersamanya.

Ahmad Dhani dan anak lelakinya tampil polos dalam rona putih, manakala isterinya, Mulan Jameela dan anak perempuan pula kelihatan anggun dalam pakaian rona hijau pucuk pisang.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *