KUALA LUMPUR: Pelakon Amelia Henderson, 27, akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan kes saman perlanggaran kontrak perjanjian selepas kemenangan berpihak kepada penerbit Datuk A Aida, 53.
Terdahulu, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson diperintahkan Mahkamah Sesyen Sivil membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi diasaskan A Aida iaitu A Aida Production Sdn Bhd.
“Saya tidak boleh hendak cakap banyak memandangkan saya akan buat rayuan. Saya rasa kes ini masih berterusan dan kita akan nantikan.
“Saya hormati keputusan mahkamah hari ini. Sejujurnya, saya masuk mahkamah hari ini tanpa sebarang harapan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, hari ini.
Ditanya hubungan dengan Aida selepas ini, Amelia berkata, mereka akan berbaik sahaja dan tiada perkara negatif perlu diperkatakan.
“Pengalaman saya bekerja dengan Aida sangat seronok. Saya harap semua faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini, baik Aida atau siapa pun yang saya pernah bekerjasama. Saya dapat pengalaman yang sangat menyeronokkan bekerja dengannya,” katanya.
Pada masa sama, pelakon filem Pulau ini berbangga dengan diri sendiri dan bersyukur apabila masih ramai yang berada di belakangnya.
“Saya sangat bangga dengan diri sendiri kerana buat perkara yang betul. Tetapi pada masa sama, perasaan itu bagi saya kekuatan untuk membuat rayuan.
“Hari ini saya sangat gembira kerana ramai yang menyokong ketika saya sangat memerlukan. Ahli keluarga turut hadir dan menangis kerana gembira,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Amelia, Wan Nurliyana Abdul Rahman berkata, beliau bersama anak guamnya akan memfailkan rayuan berkenaan secepat mungkin.
“Kami akan kemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk keputusan keseluruhan hari ini. Kami akan cuba kemukakan secepat mungkin.
“Kami sedang tunggu penghakiman dahulu pihak plaintif (A Aida) terlebih dahulu. Rayuan tidak bersifat kita boleh terus tangguh (bayaran), jadi kami perlu failkan permohonan lain,” katanya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Zulqarnain Hassan memutuskan supaya Amelia memohon maaf dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu seperti dimuat naik di Instagram (IG).
Jumlah bayaran yang perlu dilunaskan Amelia termasuk bayaran pendahuluan yang diterima sebelum penggambaran, ganti rugi am fitnah serta ganti rugi kos penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali sebanyak RM101,325.
Kredit: Berita Harian