Kuala Lumpur: Terkasar bahasa dan kurang adab menjadi punca sengketa tercetus antara penyanyi, Amir Jahari, 31, dengan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, baru-baru ini.
Amir atau nama sebenarnya Mohamad Amirullah Jahari berkata, mereka sudah berdamai mengenai isu penggunaan lagunya berjudul Hasrat dalam sebuah video politik berkenaan.
“Kami sudah saling bermaafan dan beliau turut memohon maaf secara peribadi. Jadi, tiada lagi isu antara kami walaupun ramai mungkin tidak tahu kami sudah berdamai.
“Saya memang akui kesilapan itu datang daripada kata-kata saya yang agak kasar hingga membabitkan emosi. Padahal, isu itu boleh saja diselesaikan secara berhemah dan tak perlu jadi besar.javascript:false
“Saya mengambil pengajaran daripada kesilapan itu dan lebih berhati-hati selepas ini. Selama ini saya sentiasa jaga rapi adab tutur kata namun tersilap langkah pula baru-baru ini,” katanya.
Amir mengakui itu pertama kali dia berdepan kontroversi sepanjang lebih sedekad dalam karier seninya.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak terbabit tetap berpegang teguh takkan membenarkan lagunya digunakan Tanpa kebenaran untuk agenda politik.
“Terutama untuk tujuan yang boleh memporak-perandakan keadaan dan menimbulkan kebencian, saya memang tentang.
“Lainlah kalau saya diminta buat lagu untuk mana-mana parti politik tak kisah kerajaan atau pembangkang untuk tujuan murni, itu boleh bincang atau upah saya,” katanya.
Baru-baru ini, Amir menaikkan status kurang puas hati kerana lagu Hasrat nyanyiannya dijadikan latar belakang video solidariti politik yang dimuat naik di media sosial Mas Ermieyati.
Mas Ermieyati kemudian memadamnya serta memohon maaf. Dia turut berpesan supaya Amir nyatakan awal-awal sekiranya enggan lagunya digunakan secara meluas dan menjadi isu.
Kredit: Harian Metro