KUALA LUMPUR : Bukan sekadar menghiburkan pendengar dengan putaran lagu, stesen radio popular, HotFM mengorak langkah membantu rakyat merealisasikan impian dengan ganjaran wang tunai RM300,000 melalui kempen Hot Hulur Wang Sama Pendengar (HWSP).

Mendapat sambutan memberangsangkan, kempen Hot HWSP yang mengumpul 19,030 penyertaan sejak 6 Februari lalu, berakhir, kelmarin, dengan mengangkat pendengar setia, Farah Amirah Mian sebagai pemenang.

Farah Amirah yang bertugas sebagai jurutera elektrikal dari Semenyih, Selangor, menewaskan 28 peserta lain pada pusingan akhir Hot HWSP yang dianggap memiliki kekuatan mental dan fizikal melebihi dirinya.

“Saya tidak sangka menang sebab kita tahu penyertaan kempen ini menghampiri 20,000 orang. Apabila kita lihat bakul dengan tanda nama peserta, kita terfikir agak mustahil untuk nama kita ditarik.

“Jadi, apabila nama saya ditarik dan saya perlu hubungi HotFM, sejurus itu saya fikir ini adalah penghargaan buat saya.

“Kemudian, apabila datang ke District 21, hari ini (kelmarin), saya tidak simpan harapan tinggi kerana semua peserta hebat.

“Cabaran demi cabaran saya cuba buat dan lawan rasa takut. Jadi, saya hanya cuba yang terbaik sebab saya tahu, semua orang yang datang mahu menang RM300,00. Tetapi, akhirnya, rezeki berpihak kepada saya,” katanya kepada BH Online.

Ibu kepada cahaya mata yang berusia tiga tahun ini bersyukur apabila hasrat menyambung pengajian dengan wang kemenangan, menjadi kenyataan.

“Dalam borang penyertaan, saya tulis mahu sambung pengajian peringkat sarjana sepenuh masa. Jadi, saya kena berhenti kerja. Tetapi saya perlukan duit untuk meneruskan kehidupan.

“Alhamdulillah dengan wang kemenangan ini, dapatlah saya guna untuk bayar yuran pengajian saya.

“Saya hendak sambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik. Saya mahu tingkatkan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrikal ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Farah Amirah menyanjungi usaha HotFM membantu rakyat melalui kempen Hot HWSP.

“Kita semua tahu selepas pandemik COVID-19, ramai ada masalah kewangan termasuk mahu mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Jadi, dengan adanya pertandingan ini, ia membuka peluang untuk individu yang memerlukan wang dan hari ini (kelmarin), peluang itu berpihak kepada saya.

Farah Amirah bersyukur hasrat menyambung pengajian dengan wang kemenangan, menjadi kenyataan. Foto NSTP Azhar Ramli
Farah Amirah bersyukur hasrat menyambung pengajian dengan wang kemenangan, menjadi kenyataan. Foto NSTP Azhar Ramli

“Saya akan guna sebaik-baiknya wang ini agar mereka yang tidak menang tidak kecewa andai saya salah gunakan hadiah ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, HotFM adalah satu-satunya stesen radio di Malaysia yang menawarkan wang tunai dalam jumlah besar dan mahu terus tampil dengan kempen membantu orang ramai yang memerlukan.

“Kami mahu menjadi stesen radio yang selalu membantu orang ramai, bukan hanya menghiburkan pendengar dengan senarai lagu yang menarik sahaja.

“Jadi stesen radio yang menghiburkan dan membantu pendengar adalah sesuatu yang kami sasarkan setiap hari. Disebabkan itu, kami anggap kempen seperti ini sesuai untuk demografik pendengar HotFM.

“Apatah lagi kami menganggap ini adalah masa yang tepat untuk memberi ganjaran itu berikutan ramai individu terkesan selepas pandemik COVID-19.

“Jadi, kami mahu buat sesuatu untuk ‘memberi’ semula kepada pendengar. Dengan cara ini, kami boleh bantu mereka yang mempunyai masalah kewangan terutama selepas pandemik COVID-19.

“Tahniah diucapkan kepada Farah Amirah kerana berjaya membawa pulang wang besar berjumlah RM300,000. Tahniah juga buat semua yang berusaha kerana ini adalah hasil titik peluh masing-masing,” katanya ditemui pada pusingan akhir kempen Hot HWSP di District 21, pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, kelmarin.

Nazri berkata, cabaran mental dan fizikal yang perlu dilalui 29 finalis bertujuan melihat sejauh mana kesungguhan mereka merebut ganjaran RM300,000.

“Kita adakan cabaran itu untuk mereka berusaha kerana duit tidak turun dari langit begitu sahaja. Kami mahu lihat apa yang mereka sanggup lakukan demi duit.

“Ini bukan pinjaman atau cagaran. Kami serahkan RM300,000 bulat-bulat. Alhamdulillah, saya dapat lihat ramai yang berusaha keras untuk menyelesaikan cabaran mental dan fizikal,” katanya.

Mengulas mengenai agihan wang kemenangan, Nazri berkata, sebanyak RM100,000 akan diserahkan kepada Farah Amirah setiap tahun bagi tempoh tiga tahun.

“Kita tidak bagi wang kemenangan ini sekali gus. Jadi, dalam masa tiga tahun, Farah tidak perlu fikir mengenai masalah kewangan kerana HotFM sudah membantunya.

“Kami pilih duit selain hadiah kereta atau rumah kerana orang ramai lebih memerlukan wang. Kita juga ada beri hadiah wang tunai sebelum ini, namun, dalam jumlah yang kecil.

“Ada yang seminggu atau sehari sudah habis, kali ini kami beri jumlah besar sesuai dengan keperluan pendengar ketika ini,” katanya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *