KUALA LUMPUR: Pasangan duo adik beradik, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani menjalani latihan sebagai persediaan untuk Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 yang bakal berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini.
Juara program realiti, Famili Duo yang baru dinobatkan pada Februari lalu meluahkan rasa teruja kerana kali pertama tampil dalam persembahan acara berprestij.
Zaki, 17, berkata, dia gembira kerana ini kali pertama bersama abangnya mendapat tawaran membuat persembahan di acara anugerah.
“Kami bersyukur kerana selepas program Famili Duo, rezeki kami boleh dikatakan sangat lebat. Tak sangka kami diundang untuk membuatkan persembahan pada acara ini,” katanya kepada BH Online.
Pada majlis anugerah yang akan dipancarkan secara langsung dari PICC di TV3, pasangan duo itu akan menyampai lagu medley berjudul Santai dan Kong Kali Kong.
Sementara itu, Yamani, 22, berkata, dia seronok kerana undangan secara tak langsung dapat mengeratkan lgi hubungannya dengan Zaki.
“Selepas program Famili Duo, hubungan saya dengan Zaki semakin baik dan berharap hubungan akan menjadi lebih erat menerusi kolaborasi ini.

“Memandangkan ini adalah anugerah besar, jadi kami agak gementar dan perlu membuat persiapan rapi.
“Setakat ini, kami sudah menjalani sesi latihan vokal bersama Cikgu Delly Mohd Taib sejak seminggu lalu kerana ingin memastikan persembahan berjalan lancar serta turut menjalani latihan tarian,” katanya.
Selain Zaki dan Yamani, penyanyi lain yang akan membuat persembahan pada TADS 2023 termasuklah Stacy, Mimi Fly, Liza Hanim, Misha Omar, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ayda Jebat, Fyna Jebat, Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Amir Masdi, Rahmad Mega dan Hael Husaini.
TADS 2023 akan dikendalikan oleh pengacara popular, Sherry Alhadad dan Sharifah Shahirah.
Antara barisan artis tanah air yang menggalas tanggungjawab sebagai penyampai trofi adalah Ummi Nazeera, Nabila Huda, Meerqeen, Anna Jobling, Fasha Sandha, Datuk Rosyam Nor, Aniq Suhair, Siti Khadijah Halim dan ramai lagi.
Secara keseluruhan, Tonton ADS mempertandingkan 14 kategori antaranya Drama Terbaik; Drama Popular; Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik.
Turut dipertandingkan Pelakon Lelaki Terbaik; Pelakon Wanita Terbaik; Pelakon Lelaki Popular; Pelakon Wanita Popular; Pelakon Antagonis Terbaik; Pasangan Drama Terbaik; OST Terbaik dan Drama Novel Adaptasi Terbaik.
Daripada jumlah itu, lapan kategori dibuka untuk undian peminat.
Peminat boleh mengundi 10 kali sehari untuk setiap alat peranti.
Bagi kategori Oppa Pilihan Tonton, 30 peratus undian peminat, manakala 70 peratus juri profesional.
BH dan Harian Metro diumumkan Rakan Media, manakala Oh Bulan dan Xtra sebagai Rakan Digital.
Kredit: Berita Harian