Kontroversi filem Mentega Terbang sememangnya diketahui dan turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mendakwa karya tersebut ‘bertentangan dengan akidah’.
Manakala agensi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diarahkan untuk memanggil pihak yang terlibat bagi mendapatkan pandangan yang lebih menyeluruh.
Ia juga mendapat perhatian ulama dan ahli Dewan Negara Malaysia, Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang merasa terpanggil untuk memberi ulasan dan penjelasan mengenai kontroversi yang berlegar dalam penerbitan filem ini.
Memetik blog rasmi Dr Zulkifli, beliau telah memetik masalah seperti agenda pluralisme dalam beragama yang semakin membarah pada ketika ini. Pluralisme yang membawa kepada kelahiran demokrasi liberal sesungguhnya dapat memberi kesan kepada mereka yang sedang ‘mencari’ tauhid dan pegangan agama yang benar.
Beliau juga memetik sedikit salah faham mengenai ayat dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 256 ‘Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)’ yang menjadi tunjang perdebatan dalam penghasilan filem tersebut.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tidak menjadi masalah buat umat manusia untuk belajar mengenai agama lain namun perlulah merujuk kepada yang ahli, bukan sekadar atas tuntutan logik dan akal.
Selain itu, beliau juga merasakan terdapat banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama-agama yang lain dalam filem tersebut.


Dr Zulkifli juga menyarakan agar pihak JAKIM untuk menyediakan kenyataan berdasarkan sandaran dan hujah yang kukuh sebelum tampil menangkis sesuatu yang salah di sisi agama Islam, supaya tidak lagi dianggap ekstremis dan semborono.
SUMBER ASAL DARI :- Kontroversi Filem Mentega Terbang, Ini Ulasan Dan Penjelasan Daripada Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri… (beautifulnara.com)