“KADANG-KADANG, terfikir juga, kalau saya ambil, mungkin saya takkan berada di mana saya berada sekarang.”
Demikian kata pelakon, Farid Kamil yang memegang watak sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam filem terbaharu lakonannya, Anwar: The Untold Story.
Farid ketika ditemui berkata, isu rasuah yang ditolaknya itu sudah lama, namun, kesannya dirasakannya pada hari ini di mana, dia masih lagi berpegang dengan prinsipnya.
“Mengenai rasuah RM5 juta itu, itu cerita pada 2017. Ketika itu, saya pernah juga disogok dan tidak mengambil wang itu. Tapi, bila saya tak ambil, berturutan pelbagai perkara berlaku.
“Pada ketika itu, siapa yang tak ambil duit, dia akan sengsara dan saya terlupa mengenai perkara itu.
“Kadang-kadang, terfikir juga, kalau saya ambil, mungkin saya takkan berada di mana saya berada sekarang, dengan pendirian yang saya lafazkan bahawa, saya pernah menolak RM5 juta. Sama seperti Anwar (yang menolak rasuah),” katanya.
Pernah bertemu Anwar dan isteri, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Farid berkata, dia turut dititipkan pesanan yang disifatkan sebagai gurauan daripada Anwar kepadanya.
“Ketika sesi pertemuan, beliau menitipkan satu pesanan iaitu supaya berlakon elok-elok kerana dia ada ramai peminat Tamil. Saya harap, beliau terima kehadiran filem ini seadanya,” katanya.
Bercakap soal watak, Farid mengakui tidak mengambil masa lama untuk membuat pertimbangan membawakan watak terbabit. Meskipun begitu, dia tidak menolak bahawa wujud kebimbangan watak terbabit akan memberi kesan terhadap kerjayanya.
Kata Farid dia juga berasa bimbang sekiranya gagal menterjemahkan karakter figura hebat itu di layar perak.
Filem Anwar: The Untold Story diarahkan pengarah Indonesia, Viva Westi dan dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Farid, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Firdaus Karim dan ramai lagi.
Filem yang mengisahkan mengenai perjalanan reformasi Anwar dengan latar belakang tahun 1993 hingga 1998 itu bakal ditayangkan pada Mei ini.
Kredit: Harian Metro