Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1980-an, Herman Tino memaklumkan sentiasa berada di samping isterinya, Noraini Ibnu ketika isterinya sakit atau sihat.
Kini Noraini yang juga bekas penyampai radio RTM sedang sakit dan Herman berkata, dia akan menemani isterinya dan memberi semangat sehingga Noraini sembuh.
“Saya sayang dia. Ani seorang sahaja yang saya ada… Dia penyanyi, pembaca pemberita dan juruhebah. “Ani adalah jodoh saya sampai sekarang. Jadi, saya sayang dia sama ada dia sakit atau sihat. Dialah kawan yang saya ada, jadi, saya sayang dia,” katanya.
Noraini, bekas penyelia Radio Klasik kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Dia mulanya dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang (HTJ) Sabtu lalu, kemudian dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut dan ditidurkan sehingga ke hari ini.
Herman berkata, doktor memaklumkan keadaan isterinya serius dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
“Doktor beritahu keadaan Ani serius di mana kuman sudah merebak ke paru-paru. Sekarang Ani ditidurkan kerana nafas dan jantungnya laju.
“Ani ditidurkan untuk rawatan lebih rapi. Tetapi, selepas ditidurkan, nafas Ani stabil. Sekarang Ani masih ditidurkan untuk mengubat paru-paru, buah pinggang dan paras darah yang rendah,” katanya.
Herman mendedahkan, isterinya menahan sakit sejak lebih lima tahun lalu.
“Tetapi ketika itu, isteri buat tak rasa sahaja. Dahulu Ani ada fibroid, tetapi sudah dibuang dan selepas itu, isteri mula kurang sihat. Otot dan saraf mula tidak bagus, tetapi dia terus bertahan.
“Walau macam mana pun, atas nama takdir itu, kita berhak untuk berubat dan kita berhak untuk kuat. Antara sakit dan sembuh, kedua-duanya berkawan baik dan sekarang, kami sedang berubat,” katanya.
Herman berterima kasih kepada ramai pihak yang mengambil berat dan mendoakan kesembuhan isterinya. “Sebenarnya, atas nama manusia, saya sedang menempuh takdir yang sudah ditentukan. Saya sebagai suami Noraini Ibnu, sedang merasai takdir yang Allah bagi.
“Jadi hendak elak ke mana. Hidup ini ada matinya. Jadi, saya lalui sajalah. Kita sudah berumur dan Ani pun… Saya reda,” katanya.
Noraini baru saja menyambut ulang tahun kelahiran ke-63 pada 21 Februari lalu.
Kredit: Harian Metro