Kuala Lumpur : Balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali, 30, meluahkan kemarahan apabila akaun media sosialnya iaitu TikTok dan Facebook cuba digodam pihak tidak bertanggungjawab.
Menerusi hantaran video di Instagram, Hidayah berkata, ia berlaku sejak dua hari lalu selepas Instagram miliknya dan Abam gagal digodam tidak lama dulu.
“Saya tengah marah ni sebab ada orang cuba godam akaun TikTok dan Facebook selama dua hari berturut-turut. Benda ni dah lama berlaku tapi saya sabar dan berdiam diri. Tapi kali ini, saya tak tahan selama ni dia cuba nak ambil akaun Instagram saya dan arwah suami tapi mereka tak dapat (godam),”katanya.
Hidayah berkata, dia kecewa apabila ada pihak yang cuba mengganggu perniagaan secara dalam talian yang diusahakannya.
Dalam perkongsiannya juga Hidayah juga meminta individu terbabit mencari pendapatan halal tanpa menggunakan jalan pintas.
“Dia nak kacau bisnes (perniagaan) saya. Kenapa korang nak ambil (godam)? Sebab nak jual (akaun) untuk dapatkan duit?
“Kalau takde duit, berniaga la. Cari duit yang halal. Bawalah bertaubat.
“Macam saya, saya tak kacau orang. Saya buat bisnes (perniagaan) sendiri untuk besarkan anak. Nasihat saya, jangan ambil hak orang,” katanya.
Sementara itu, Hidayah juga seolah-olah memberi bayangan bahawa dia mengetahui identiti individu yang cuba menggodam akaun media sosialnya itu.
Namun, dia tidak berkongsi lebih terperinci dalam perkongsiannya itu.
“Ingat saya tak tahu siapa yang cuba ambil (godam) tu? Saya tahu kat mana, pukul berapa, nama korang siapa,” katanya.
Kredit: Harian Metro