Kuala Lumpur: Penyanyi, Ryan Deedat, 31, menafikan pelantikannya sebagai duta sebuah hab sehenti barangan perkahwinan kerana mahu menamatkan zaman bujang dalam waktu terdekat ini. 

Ryan berkata, dia belum bersedia untuk mempunyai sebarang komitmen walaupun sedang mengenali seorang model berusia 28 tahun sejak setahun lalu. 

“Saya belum nak kahwin lagi. Masih terlalu awal untuk memikirkan soal rumah tangga kerana saya baru nak susun semula kerjaya seni yang selama ini agak terbatas kerana menguruskan arwah ibu. 

“Kalau boleh saya nak kumpul aset dan mempunyai kewangan yang kukuh sebelum melangkah ke fasa seterusnya. Lagipun wanita yang saya kenali ini juga memahami fokus dan perancangan saya. 

“Sebenarnya peluang menjadi duta ini datang selepas saya mengacarakan sebuah ekspo perkahwinan tahun lalu. Melihat kesungguhan dan komitmen yang diberikan mereka menawarkan saya peluang keemasan ini dan Insya-Allah saya bakal melancarkan single raya dengan kerjasama JV Craft & Gifts berjudul Hantaran Raya,” katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Ryan, dia menganggap pelantikan sebagai duta yang julung kali diterima sepanjang 13 tahun dalam industri seni adalah satu permulaan yang baik selepas berdepan kehilangan besar tahun lalu. 

“Tahun lalu adalah satu ujian berat untuk saya pikul apabila kehilangan insan yang paling penting dalam hidup saya iaitu ibu tercinta. Malah tahun sebelumnya itu saya turut kehilangan adik bongsu yang menghidap barah otak. 

“Kehilangan ibu hampir membuatkan saya patah semangat kerana selama ini saya menjaganya hampir lima tahun akibat diserang angin ahmar. Tapi saya cuba bangkit dan reda dengan segala ketentuan yang sudah tertulis. 

“Ketika saya jatuh dan murung, saya tiba-tiba mendapat sinar baharu dan peluang yang selama ini saya tunggu-tunggu. Selama ini mungkin langkah saya sebagai penyanyi agak terbatas kerana perlu menguruskan ibu, tapi Insya-Allah tahun ini saya akan kembali aktif dan menghasilkan karya yang akan diingati oleh peminat,” katanya.

kreadit : hmetro.co

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *