Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie bersyukur atas penganugerahan Artis Hiburan Wanita Paling Menyerlah 2022 yang diterimanya semalam.
Menurutnya, anugerah anjuran Miss Malaysia Kebaya, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Tourism Malaysia itu adalah anugerah pertama yang diterimanya selepas 12 tahun berada di dalam industri.
“Alhamdulillah, saya berbesar hati dengan anugerah yang diberikan. Selepas 12 tahun saya berkarya di dalam industri, semalam, saya menerima anugerah ini dan memang tidak dijangka,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Wani, dia pada awalnya menyangka namanya sekadar tercalon.
“Sewaktu dihubungi pihak penganjur, mereka maklumkan kepada saya bahawa mereka ingin mencalonkan nama saya dalam anugerah. Saya fikir, ini satu lagi anugerah yang perlukan undian.
“Tapi, bila dijemput hadir, saya masih lagi tak tahu mengenai kemenangan ini. Bila tengok senarai jurinya, saya tahu bahawa ini adalah satu acara besar dan memang dibarisi orang-orang kuat dalam industri.
“Apa pun, anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya bekerja lebih keras dan terus kekal aktif di dalam industri,” katanya.
Kredit: Harian Metro