Kuala Lumpur: Bintang filem aksi terkenal Hong Kong, Donnie Yen memuji kejayaan Tan Sri Michelle Yeoh memenangi Anugerah Golden Globes yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

   Menurut Donnie atau nama sebenarnya Yen Chi Tan, 59, pelakon kelahiran Asia  juga sama  berbakat seperti orang lain.

  “Sepatutnya sudah lama pihak Hollywood mengiktiraf bakat lakonan penggiat seni Asia yang sememangnya sukar disangkal kualitinya.

  “Lakonan adalah mengenai bakat bukan warna kulit ataupun budaya seseorang.

  “Saya sendiri tidak memahami mengapa pihak Hollywood mengambil masa terlalu lama untuk mengakui kehebatan orang Asia?,”katanya kepada Harian Metro.

     Donnie ditemui pada sidang media untuk mempromosikan filem aksi epik terbarunya Sakra di sebuah hotel terkemuka di ibu kota di sini, petang tadi.

Mengulas  kejayaan  Michelle pula, kata Donnie, ia sudah diakui sejak lama dahulu.

“Saya berasa bangga melihat banyak penghargaan diterima pelakon atau penggiat seni Asia sekarang.

“Kalau anda melihat dari segi peratusan, peluang diraih orang Asia berbanding orang Barat, memang masih terlalu kecil atau rendah,” katanya.

Kata Donnie lagi, pelakon kelahiran Asia perlu meletakkan usaha yang lebih tinggi untuk terus dipandang industri Hollywood pada masa akan datang.

“Kita perlu terus berjuang. Kita tidak boleh setakat berlakon dalam filem dan mengharapkan semuanya hebat belaka. 

“Kita perlu betul-betul berani untuk memainkan sesuatu karakter dengan cemerlang dan menunjukkan kepada dunia (khususnya Hollywood) bahawa pelakon kelahiran Asia boleh berlakon watak yang lazimnya warna kulit menjadi penghalang. 

“Pelakon dari Asia perlu ada semangat untuk memulakan sesuatu. Mentaliti seorang pejuang itu perlu sentiasa ada,”katanya lagi.

Terdahulu, Michelle, bekas Miss Malaysia dan aktres kelahiran Ipoh, Perak baru saja mencipta sejarah dengan menjadi pemenang Golden Globe pertama Malaysia. 

Aktres berusia 60 tahun itu menewaskan calon lain termasuk Lesley Manville menerusi filem Mrs Harris Goes to Paris, Margot Robbie (Babylon), Anya Taylor-Joy (The Menu) dan Emma Thompson (Good Luck to You, Leo Grande) untuk menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem (Muzikal/Komedi), Anugerah Golden Globe ke-80.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *