KUALA LUMPUR: Lima belas tahun melakar pengalaman sebagai penyanyi, Stacy Anam, 32, mengaku impian menghiburkan peminat dalam konsert solo pernah hinggap dalam fikirannya.

Namun, mengenangkan pelbagai faktor termasuk kelahiran cahaya mata, Isa, kira-kira enam bulan lalu, Stacy yang popular dengan lagu Jahat hanya mampu memendamkan keinginan itu.

Tetapi, sudah namanya rezeki, kira-kira dua bulan lalu, Stacy yang berasal dari Sabah, dihubungi penganjur konsert yang menawarkannya peluang mementaskan persembahan di premis berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 25 Februari depan.

Seperti berada dalam mimpi, tanpa berfikir panjang, Stacy menerima tawaran itu. Apatah lagi, selepas lebih sedekad dalam industri muzik, peluang itulah yang diimpikan juara Akademi Fantasia (AF) 6 itu teruja apabila dapat menyanyi di pentas berprestij yang menjadi idaman setiap penyanyi.

“Saya rasa tidak percaya saat menerima panggilan itu. Saya akui, selepas kelahiran Isa, kerjaya nyanyian agak perlahan.

“Tidak sangka masih ada pihak yang sudi memanggil saya. Jadi, saya sangat terkejut menerima tawaran itu.

“Akhirnya, ada sesuatu yang membuatkan saya seronok dan gembira untuk kembali dalam industri muzik,” katanya kepada BH Online.

Stacy mengaku pernah berangan menyusun nota lagu untuk konsert sendiri.

“Malah, saya pernah beritahu kelab peminat bahawa saya teringin mementaskan konsert.

“Skala kecil pun tidak mengapa, asalkan ada pengalaman itu. Selalunya saya hanya buat persembahan untuk acara promosi single atau acara anugerah, tapi kali ini berbeza kerana saya akan membuat persembahan untuk konsert sendiri,” katanya.

Membuktikan keterujaannya, isteri penyanyi Akim Ahmad ini bakal memperkenalkan single baharu pada malam konsert di DFP.

Stacy akan beraksi di pentas berprestij, DFP pada 25 Februari depan. - Foto IG Stacy
Stacy akan beraksi di pentas berprestij, DFP pada 25 Februari depan. – Foto IG Stacy

Bagi Stacy, konsert itu boleh dianggap sebagai ‘come back’ dalam dunia nyanyian selepas kehadiran zuriat keduanya, Ogos tahun lalu.

“Insya-Allah saya akan perkenalkan single terbaharu secara eksklusif pada konsert itu.

“Saya tidak sabar menghiburkan penonton pada malam itu,” katanya.

Stacy berkata, selepas melahirkan Isa, dia mencari ruang untuk menghangatkan semula pentas seni.

“Namun, kehadiran si kecil dan perhatian yang perlu diberi kepada dua lagi anak yang kian membesar menyebabkan banyak masa tertumpu kepada urusan rumah tangga.

“Jadi, ketika terima tawaran Orkestra Filharmonik Petronas (MPO), saya risau dan dan tertanya-tanya, mampukah saya lakukan?

“Saya anggap tawaran itu sebagai cabaran untuk diri sendiri. Lagipun, sudah lama saya tidak rasa teruja dan membara seperti ini.

“Mudah-mudahan apa yang diusaha dan dirancang dapat dilakukan dengan baik,” katanya lagi.

Stacy berkata, berikutan aksi di DFP kelak menjadi konsert sulungnya, dia mahu peminat berpuas hati dan tidak rugi membeli tiket.

Bukan itu sahaja, Stacy mahu konsert yang julung kali diadakan itu berakhir dengan kejayaan, apatah lagi dipentaskan di DFP.

“Saya mahu peminat seronok dan terhibur dengan konsert saya.

“Sebagai persediaan untuk konsert itu, saya akan memperbanyakkan latihan dan akan meningkatkan stamina selepas melahirkan Isa,” katanya.

Stacy berjanji memanfaatkan ilmu dalam dunia muzik sebagai persediaan tampil pada konsert itu.

“Konsert ini bakal menjadi titik permulaan untuk saya kembali aktif dalam dunia nyanyian,” katanya.

Biarpun bukan mudah membahagikan masa sebagai ibu dan penyanyi, Stacy menyifatkan dirinya beruntung kerana mendapat sokongan kuat ahli keluarga.

Apatah lagi, suami yang banyak membantu meringankan tugasnya selain anak-anak yang mendengar kata.

Stacy juga cukup berterima kasih kepada ibu yang banyak meringankan tugas hariannya.

Kredit: Berita Harian

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *