Nama penyanyi dan komposer muda, Isma Sane mula diperkenalkan menerusi lagu Derita yang dilancarkan pada 2018.

Bukan saja lagu ciptaannya itu menjadi antara lagu popular, muzik video (MV) lagu Derita juga mencecah lebih 33 juta tontonan.

Selepas muncul dengan beberapa single, terbaharu Isma tampil dengan lagu Derita versi piano dan ‘string’.

Pengarah Beegood Music, Amir Arshad berkata, versi rakaman baharu lagu Derita itu sebagai bingkisan hadiah buat peminat setia Isma.

“Selepas empat tahun lagu Derita dilancarkan, jumlah tontonan sudah melebihi 33 juta. Lagu Derita juga masih menjadi siulan peminat ketika ini.

“Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan buat penyanyi baharu seperti Isma kerana dia perlu bersaing dengan penyanyi baharu ketika itu,” katanya.

Justeru, kata Amir, pihaknya memutuskan untuk merakamkan semula lagu Derita sebagai terima kasih dan penghargaan kepada peminat.

“Ia sesuatu yang cukup istimewa apabila versi baharu ini menggunakan piano dan ‘string’. Kami mahu peminat mendengar lagu Derita ini dari sudut yang baharu dan lebih segar.

“Kami mahu peminat turut sama merasai ‘feel’ dan penghayatan yang disampaikan Isma dalam rakaman versi piano dan ‘string’ ini,” katanya.

ISMA mula diperkenalkan menerusi lagu Derita.
ISMA mula diperkenalkan menerusi lagu Derita.

Sebelum ini, Isme pernah muncul dengan beberapa single seperti Kembali pada 2019, Sepi (2021), Pergi Jauh, Kamu dan Dia dan Sayang-Sayang tahun lalu.

Berkongsi lanjut mengenai versi baharu lagu Derita itu, Amir berkata, pemilihan piano dan ‘string’ adalah bersesuaian dengan emosi dan melodi lagu itu.

“Lagu ini penuh dengan emosi jadi ia kena dengan piano dan ‘string’. Saya mahu berasa lebih sedih lagi, jadi sebab itu kami merakamkan semula dengan vokal terbaharu,” katanya.

Pada masa sama, kata Amir, ada beberapa bahagian ditambah dalam lagu Derita iaitu dari segi lirik.

“Lagu ini dipilih kerana sudah jadi ‘trademark’ Isma. Apabila dia menyanyikan lagu ini, orang sudah kenal itu dia. Pendek kata, lagu ini sangat dekat dengan peminatnya,” katanya.

Selain rangka promosi yang diatur untuk Derita versi piano dan ‘string’, pihak Beegood Music turut merancang mengadakan siri jelajah di 10 sekolah dalam negara menerusi program Beegood At School.

Kredit: Harian Metro

By Azam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *